Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6548
![]() | Today | 51 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 833 |
| 2006 BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERSEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-60 TAHUN PADA HARI SABTU 19HB JAMADILAKHIR, 1427 15HB JULAI, 2006 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat- Nya mengizinkan istiadat ini berjalan dengan baik dan sempurna. Terlebih dahulu, Beta merakamkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan ucapan tahniah mereka. Demikian juga ucapan yang sama kepada semua yang hadir, terutama tetamu-tetamu khas Beta dari luar Negara. Tidak dilupakan juga anggota Perkhidmatan Awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan sekalian lapisan masyarakat serta kaum, sama ada mereka yang tinggal di daerah, bandar mahupun kampung. Beta amat bersyukur kerana Negara Brunei Darussalam telah ditakdirkan menjadi sebuah negara yang makmur lagi aman, dapat menikmati taraf hidup yang tinggi, sekalipun ditengah-tengah pergolakan dunia yang mencabar. Tidak ada yang lebih bermakna dari usaha mengekalkan kemakmuran dan keamanan. Oleh itu amatlah penting untuk kita mengambil langkah kehadapan bagi memastikan supaya keduanya itu dapat dipelihara dengan berkesan. Diantara yang utama ialah memastikan sumber minyak dan gas dapat terus dinikmati oleh rakyat. Disamping itu, sikap lebih terbuka kearah memepelbagaikan ekonomi juga adalah penting, sebagai cara mengukuhkan lagi survival negara, termasuk meningkatkan pelaburan asing dan menjalankan dasar 'bumi hijau' dengan lebih aktif. Tidaklah kena bagi kita menunggu lama-lama, hanya oleh kerana kita ini sudah terbiasa mengimport bahan-bahan, sekalipun ianya hanya berupa sayur-mayur dan buah-buahan. Pada hal semua itu boleh tumbuh dan subur di bumi sendiri. Senario ini amatlah tidak sesuai dengan sifat negara membangun. Oleh itu, ia mestilah diatasi. Kita perlu membiasakan diri bergerak lebih pantas, serta menyingkirkan anggapan, bahawa sumber yang sedia adalah memadai. Kita tidak boleh leka dari menghadapi keadaan-keadaan yang tidak mungkin diduga. Kita tidak tahu, sumber minyak dan kemampuan Kerajaan, sampai bilakah ia bertahan? Pada tahun 2005 sahaja, Kerajaan Beta telah membelanjakan 166 juta ringgit sebagai subsidi kepada penggunaan minyak kenderaan. Kita wajar mempunyai perancangan yang jauh, termasuk bagi mendapatkan sumber tenaga manusia yang professional dan produktif. Sehubungan ini, adalah penting bagi jentera pentadbiran Kerajaan, untuk merancang dengan lebih kemas, sehingga dapat membuahkan hasil yang memuaskan. Maka untuk itu, Perkhidmatan Awam juga diminta memainkan peranan bagi memudahcara pembangunan, termasuk juga perlaksanaan dasar-dasar yang berkaitan. Mana-mana kelembapan didalam proses perlaksanaan hendaklah dikaji dan diatasi secepatnya. Tahap koordinasi juga, perlu selalu dinilai dan di pertingkatkan dari masa kesemasa. Susah senangnya bangsa adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri. Kerana itu, Kerajaan Beta sangatlah mengambil kira tentang kos hidup serta keadaan semasa ekonomi. Misalnya, walaupun kemudahan perubatan dan pendidikan percuma sudah sekian lama dinikmati, namun Kerajaan masih sahaja meneruskannya, demi menyedari, bahawa kos bagi kedua-dua perkhidmatan itu adalah tinggi dan terus meningkat. Untuk pembiayaan semua subsidi dan perkhidmatan-perkhidmatan percuma, serta juga pembangunan negara, Kerajaan Beta alhamdulilah, masih sahaja mampu mengendalikkannya tanpa payah menggunakan tambahan bebanan kepada rakyat. Kerajaan Beta, dengan azam yang mantap, akan terus mengamalkan usaha pengukuhan kewangan (fiscal consolidation) melalui pengurusan kewangan yang prudent, agar kesejahteraan yang sedang kita nikmati ini dapat diteruskan dengan izin Allah. Beta bersyukur, sejak kebelakangan ini, hasil pendapatan Kerajaan adalah menggalakkan, serta kedudukkan kewangan juga dapat diperkukuhkan. Oleh itu, sebagai menghargai sumbangan-sumbangan anggota perkhidmatan Kerajaan Beta, khususnya diperingkat rendah, Beta sukacita mengumumkan bagi pemberian kenaikkan matagaji khas (Accelerated Increment) khusus bagi tahun ini sahaja, kepada mereka yang sedang didalam perkhidmatan Kerajaan pada masa ini. Butir-butir peningkatan pendapatan bulanan, hasil kenaikkan tersebut, akan dimaklumkan kemudian melalui surat keliling Jabatan Perdana Menteri. Bagi kakitangan didalam Bahagian IV dan V, kenaikan Elaun Sarahidup juga akan diberikan. Manakala bagi kakitangan bergaji hari , Beta juga ingin memaklumkan bahawa kadar gaji dan kenaikan tahunan (annual increment) akan diselaraskan dengan satu kadar yang lebih bersesuaian. Beta berharap, tambahan pendapatan yang bakal diterima oleh pegawai dan kakitangan Kerajaan, biarlah digunakan dengan secermat mungkin, disamping dapat berusaha untuk menyimpan melalui financial planning bagi keperluan-keperluan mendatang. Kepada para peniaga pula, adalah diingatkan, supaya tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga-harga barangan mereka. Satu lagi aspirasi Beta ialah, ingin melihat negara ini terus selamat dan aman. Keselamatan dan keamanan adalah nadi segala-galanya. Oleh itu, semua lapisan rakyat dan penduduk perlulah bekerjasama dengan semua agensi keselamatan negara, dalam usaha kita mengekalkan keselamatan dan keamanan itu. Perlu diingat, bahawa isu keselamatan adalah merangkumi pelbagai aspek kehidupan, Ia bukan sahaja perlindungan dari tindakan-tindakan jenayah, tetapi juga perlindungan untuk kesejahteraan social, jaminan dalam pekerjaan, kesihatan dan kehidupan keluarga serta masyarakat pada 'amnya. Beta yakin, dengan adanya semangat memelihara keselamatan ini, kita dengan sendirinya akan menjadi pengamal undang-undang yang baik, menjadi penghayat perpaduan dan hidup harmoni yang melahirkan keselamatan dan keamanan itu. Inilah tugas kita yang utama, serta sumbangan terbesar kepada negara dan rakyat serta kemanusiaan seluruhnya. Kerana kita adalah tidak mampu lagi untuk melihat bagaimana penderitaan yang dialami oleh mereka yang kehilangan keselamatan dan keamanan itu. Contohnya mudah, boleh dikesan dari beberapa bahagian dunia pada ketika ini. Sejak mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984, negara kita telah menjadi anggota beberapa pertubuhan serantau dan antarabangsa. Dengan keanggotaan ini, dapatlah kita sama-sama memainkan peranan. Kita selaku anggota, adalah turut mengingini sebuah rantau dan dunia yang mantap, samada dalam politik, keselamatan mahu pun ekonomi. Kita nampak, impian ini insya Allah boleh dicapai, apabila pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan itu tetap teguh dengan aspirasi masing-masing. Sebagai pelengkap cabaran-cabaran global, kita perlu menyiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang wajar dimiliki, supaya kita dapat bersaing langsung dengan orang lain didalam segenap bidang. Persaiangan adalah mungkin wujud apabila kita memiliki kemahiran-kemahiran, di mana kemahiran itu biasanya mampu mendorong kepada lahirnya pemikiranpemikiran dan langkah-langkah kreatif untuk maju. Inilah caranya untuk kita menjadi bangsa yang maju dan mampu bersaing. Namun mustahak disedari, bahawa setiap kemajuan itu, ada pemiliknya yang mutlak, iaitu Allah Yang Maha Kaya. Kita janganlah lupa perkara ini. Rujuklah sejarah. Berapa banyak temadun umat Islam yang lebih maju dari temadun lainnya, tetapi musnah akibat mencuaikan kewajiban berugama. Kita jangan lupakan 'hakikat sejarah' yang berharga ini, walaupun ramai orang lain sudah melupakannya. Tetapi bagi Brunei, kita jangan pula melupakannya. Malah ambillah ia sebagai iktibar. Kerana sejarah itu adalah guru, ia tidak pernah berbohong. Akhirnya, Beta sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Perayaan peringkat kebangsaan yang telah bekerja keras untuk menjadikan perayaan ini sebagai hari keriangan dan kegembiraan untuk semua. Semoga kita berada dalam aman bahagia dibawah 'inayahnya dan perlindungan Allah. Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




