Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6211
![]() | Today | 29 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 496 |
| 2000 - BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA PERAYAAN HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE 54 TAHUN PADA 15 JULAI 2000 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdullllaahi, Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta' eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen. Sayyidinaa Muhammadin Wa'alaa 'Alihee Wasahbihee Ajma'een Waba'du. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata' ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan isti'adat ini berlangsung dengan baik dan sempuma. Terlebih dahulu beta sukacita mengalu-alukan para tetamu khas beta yang sama-sama hadir dan merayakan hari ulangtahun keputeraan beta pada tahun ini dan begitu juga kepada dhif-dhif yang lain, serta semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat sempena sambutan perayaan ini. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas ingatan baik mereka itu. Dalam keadaan dunia yang mengalami perubahan serta cabaran yang hebat di abad baru ini, Alhamdulillah, kita di negara ini terus dapat menikmati keamanan, pembangunan dan kemajuan, hasil dari usaha dan kerjasama semua pihak, baik ia pihak kerajaan mahupun sektor swasta, serta rakyat dan penduduk di negara ini. Kita juga terus melangkah mengemaskan diri menghadapi persaingan global, iaitu dengan melihat dan mengkaji sistem pengurusan yang ada, termasuk peraturan-peraturan lama yang perlu diubah dan disesuaikan, perubahan minda dan sikap positif, usaha untuk mengelakkan pembaziran, serta mengurangkan defisit dan meningkatkan pendapatan negara. Kegawatan ekonomi yang menimpa rantau ini, walaupun sudah dapat diatasi, namun langkah berjimat cermat dan berhati-hati mestilah terus diamalkan kerana sikap cermat dan waspada itu mempunyai nilai dan keberkatannya yang tersendiri. Projek-projek dan perbelanjaan yang sudah dan akan diperuntukkan mestilah benar-benar mengikut keperluan dan keutamaan untuk kepentingan rakyat dan negara. Tatacara pengurusan projek dan perbelanjaan itu mestilah diselenggarakan dengan sebaikbaiknya, secara kos efektif dan 'value for money' mengikut landasan peraturan dan undangundang yang telah ditentukan. Kerajaan beta telah menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Brunei. Penubuhan pusat ini akan menjadikan negara kita sebagai pusat kewangan kepada sektor perkhidmatan, terutama sekali sektor kewangan, bank, sekuriti dan insurans. Usaha ini juga diharapkan akan dapat membuka peluang-peluang pekerjaan, di samping membolehkan peralihan kepakaran dan teknologi di bidang kewangan kepada anak-anak tempatan. Dalam pada itu keamanan dan kestabilan di rantau ini adalah merupakan salah satu faktor utama bagi membolehkan kita menikmati kesejahteraan dan pembangunan negara. Dalam usaha meningkatkan kestabilan serantau, Negara Brunei Darussalam akan terus mengutamakan prinsip-prinsip kerjasama bersama-sama dengan negara-negara sahabat. Konsep ini juga akan dipakai melalui kerjasama dengan APEC sebagaimana juga dengan ASEAN, di samping tidak terkecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel dan pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain. Penglibatan negara selaku tuan rumah kepada Persidangan Ketua-Ketua Ekonomi APEC dan menjadikan Tahun 2001 sebagai Tahun Melawat Brunei akan kita manfaatkan dengan sebaikbaiknya. Kehadiran pengunjung-pengunjung luar negeri yang termasuk juga pihak-pihak korporat antarabangsa dari Asia Pasifik akan turut diambil kesempatan oleh para pengusaha tempatan di negara ini untuk mengadakan gabungan strategik dan seumpamanya. Di samping itu peranan negara yang tersendiri didalam bidang ekonomi serantau dan antarabangsa akan semakin menyerlah apabila kita mempunyai kemampuan untuk menjadi pengeluar barangan dari makanan halal. Pada tahun lalu, kita sudahpun mengadakan akta yang berkaitan dengannya, bagi menjamin bahawa perbekalan daging dan ayam adalah benar-benar halal menurut hukum syara'. Beta berharap, langkah ini bukan saja terhad kepada dua jenis barangan yang disebutkan itu, malahan juga termasuk makanan-makanan yang sudah diproses. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam menjadi cara hidup, maka kita akan terus bergerak menjalankan ajaran-ajaran yang indah itu dalam kehidupan kita. Sehubungan dengan ini, pada awal abad ke-21 ini, beta telah menitahkan supaya Bank Pembangunan Brunei Berhad yang dimiliki 100 peratus oleh Kerajaan beta dan telah ditubuhkan pada tahun 1995, ditukarnamanya kepada Bank Pembangungan Islam Brunei Berhad atau The Islamic Development Bank of Brunei Berhad dan akan hanya memberikan segala perkhidmatannya menurut Kitab Suci Al-Qur'an, sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 275: "Bahawa orang-orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan adalah seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, terhoyong-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Mereka ini berkata: Sesungguhnya jual beli itu sama saja dengan riba, padahal Allah telah dengan tegasnya menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Beta juga telah menitahkan supaya peranan Lembaga Kemajuan Ekonomi yang pemah menghulurkan perkhidmatan pembiayaan kepada Pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana hendaklah dimasukan ke dalam konsep Bank Pembangunan Islam Brunei Berhad ini. Beta penuh percaya kedua-dua fungsi perbankan komersial dan pembiayaan pembangunan yang berkonsepkan Islam ini, Insya Allah akan dapat membantu bagi mengukuh dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekomomi negara. Oleh kerana ianya adalah dijalankan semata-mata kerana Allah, maka beta tidaklah ada sebarang keraguan bahawa usaha ini akan membawa kemanfaatan kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Dalam kepesatan arus perubahan sejagat, kita menyedari bahawa sistem nilai masyarakat serta aspirasi rakyat akan turut sama mengalami perubahan. Kita adalah bersedia menerima perubahan-perubahan itu. Akan tetapi sistem nilai yang baik, tetaplah menjadi pilihan kita dan bahkan akan terus dipertahankan. Di antaranya yang paling terbilang ialah, kekal dalam kesetiaan dan kecintaan terhadap ugama, bangsa, raja dan negara. Semua ini telahpun menjadi darah daging kita dan akan terus terpelihara. Seperti orang lain, negara Brunei juga kadang-kadang mempunyai masalahnya sendiri. Walaupun ini mungkin merisaukan, namun Alhamdulillah, kita juga dapat menyaksikannya dengan baik. Dalam penyelesaian terhadap apa juga masalah, kita tidaklah perlu terlalu riuh rendah, tetapi apa yang penting, masalah itu dapat dihuraikan dengan sebaik-baiknya tanpa membazirkan masa dan perbelanjaan yang terlalu banyak. lnilah cara kita, cara Brunei sendiri, di mana semua pihak mestilah turut menghormatinya seperti juga kita menghormati cara orang lain. Sedikit mengenai perkhidmatan awam. Kerajaan beta telahpun menetapkan suatu Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke 21 yang bertujuan antara lain bagi mementingkan lagi mutu perkhidmatan serta keupayaan di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Wawasan ini dihasratkan akan dapat dihayati oleh sekalian anggota Perkhidmatan Awam bagi menjamin kejayaan masing-masing. Telah sampailah masanya untuk kita memantapkan sikap cekal dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Kerajaan sesungguhnya tidak lupa melakukan apa saja untuk kebajikan rakyat. Dalam bidang kesihatan, kerajaan beta telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Promosi Kesihatan yang bertanggungjawab merangka dan membentuk rancangan-rancangan peningkatan kesihatan sambil mempromosikan amalan-amalan cara hidup yang sihat untuk rakyat dan penduduk. Kita berharap dengan adanya program mempromosikan kesihatan ini akan dapatlah mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai kos rawatan yang tinggi serta juga jangka masa yang lama ketika dirawat. Mudah-mudahan berkat niat baik kita semua dalam menjalankan usaha-usaha dan rancanganrancangan kerajaan, maka negara akan dapat menyaksikan hasilnya yang lumayan berupa: kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan. Demikianlah. Pada mengakhirinya, beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli jawatankuasa yang berkenaan serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua akan memberkati sumbangan ikhlas pihak-pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan beta pada kali ini. Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masingmasing. Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




