Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6229
![]() | Today | 47 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 514 |
| 1999 - BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA PERAYAAN HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-53 TAHUN PADA 15 JULAI, 1999 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulilahi, Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen. Sayyidina Muhammadin Wa'alaa Alihie Wasahbihie Ajma'een Waba'du. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan istiadat ini diadakan dengan baik dan sempurna. Beta terlebih dahulu dengan sukacita mengalu-alukan para tetamu khas beta yang sama-sama hadir bagi merayakan hari ulang tahun keputeraan beta pada tahun ini. Demikian juga kepada dif-dif yang lain serta semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat sempena sambutan perayaan ini. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan ganjaran-Nya di atas ingatan baik mereka itu. Mula-mula kita merafa'kan syukur, kerana negara dapat menikmati hasil pembangunannya, walaupun ia berlangsung di sebalik kesukaran ekonomi yang melanda rantau ini. Perkara ini berlaku di penghujung abad ke-20, iaitu suatu kejadian yang telah menghitamkan sedikit lembarannya. Namun dari sudut hikmahnya pula, ia berperanan untuk melatih kita menghadapi masa-masa yang sukar dan mencabar. Kalau diikuti perjalanan sejarah, dunia ini sebenarnya sudah banyak mengalami gawat ekonomi itu. Umpamanya di zaman Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri, umat Islam pernah dikepung dan di boikot oleh musuh, sehingga menjadikan ekonomi benar-benar lumpuh dan umat Islam hidup dalam kelaparan. Demikian juga AI-Qur'an ada merakamkan peristiwa kemarau di zaman Nabi Allah Yusuf 'Alaihissalam yang berlangsung selama 7 tahun, iaitu suatu malapetaka ekonomi yang sungguh dahsyat lagi mengerikan. Namun di sebalik peristiwa ini terdapat budi bicara yang gigih, yang penuh dengan daya usaha serta keimanan kepada Allah, di mana pada akhimya Allah telah menyediakan jalan keluar bagi suatu kehidupan yang lebih disenangi. Inilah cara pemulihan yang sungguh berkesan, iaitu bermula dari keyakinan serta budi bicara yang tidak luntur-luntur. Kita perlu mengambil ingatan, bahawa keadaan dunia memanglah selalu bergolak. Dalam masa perdamaian dan keamanan menjadi matlamat utama, kita dikejutkan oleh perkara-perkara yang berlaku di negara-negara Balkan, di sub-kontinen Asia dan akhir-akhir ini pula di dua buah negara serumpun di Timur Jauh. Selain itu turut pula menggemparkan ialah kejadian di sebuah negara Eropah, di mana terdapat bahan toxic dalam makanan. Di negara kita sendiri, kita juga telah dikejutkan oleh penyakit kolera yang muncul dengan tiba-tiba. Semua ini adalah kejadian yang penuh dengan hikmah, untuk memberikan kesedaran supaya kita terus berhati-hati terhadap sesuatu itu. Tidak ada perkara yang boleh diabaikan, walaupun ia hanya perkara makan minum dan kebersihan. Semua ini adalah menjelaskan erti kekuasaan Allah, untuk kita semua tahu, bahawa Dia itu adalah Maha Berkuasa melimpahkan rahmatNya dan begitu juga menarik semula nikmat itu, jika dikehendaki-Nya. Salah satu cara untuk memelihara rahmat supaya berpanjangan ialah dengan meluruskan dasardasar kita. Dalam pentadbiran, kita mestilah jujur, efisien, adil dan bersih, juga terbuka dan sensitif dengan mengambil berat terhadap kepentingan-kepentingan umum. Kerana itulah, langkah telah diambil untuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi di bawahnya supaya mengamalkan "Tekad Pemedulian Terhadap Orang Ramai." Kaedah ini dihasratkan, supaya peraturan serta tatacara sesebuah kementerian atau jabatan itu akan menjadi lebih jelas, dan dapat mengurangkan kelambatan-kelambatan dalam memproses sebarang permohonan dan perkhidmatan terhadap orang ramai. Sementara pihak-pihak bukan kerajaan pula, akan turut sama mendukung tekad ini, supaya semua kepentingan dapat ditangani dengan lebih berkesan bagi kebahagiaan dan kesentosaan rakyat. Seperti lazimnya, kita adalah tetap mengutamakan rancanganrancangan pembangunan negara. Di bidang pendidikan, kita akan bersikap lebih proaktif sebagai jawapan kepada keadaankeadaan dunia yang sentiasa berubah-ubah. Kursus-kursus dan bidang-bidang lain pengajian akan sentiasa diselaras dengan keperluan negara dan manusia. Penyertaan bagi pihak bukan kerajaan dalam memenuhi keperluan-keperluan pendidikan juga, turut dialu-alukan, iaitu tidak saja setakat penubuhan sekolah-sekolah tabika dan rendah, malahan juga penubuhan sekolah-sekolah menengah dan kejuruan, selaras dengan keperluan negara. Di bidang perusahaan, usaha-usaha sedang berjalan untuk menimbulkan keyakinan pengusahapengusaha tempatan dan luar negeri, supaya mereka itu dapat bergiat dengan cergasnya di negara ini. Maka ke arah ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah, termasuklah mewujudkan Skim Kemudahan Perusahaan. Sementara rancangan yang sedia ada, kita juga telah melancarkan beberapa aktiviti, termasuk mengadakan promosi jualan, meningkatkan kualiti dan dayasaing bahan-bahan keluaran negara. Khusus di bidang industri pelancongan pula, kerajaan telah merangka Plan Induk Pelancongan, dan kemudian sehubungan itu, tahun 2001 telah pun dipilih sebagai "Tahun Melawat Brunei." Kita juga berhasrat untuk menjadikan negara ini sebagai Pusat Perkhidmatan Perdagangan dan Pelancongan. Ke arah ini, salah satu usaha yang telah dibuat ialah mengadakan perkhidmatan punggahedar dan perkhidmatan perkapalan secara langsung di antara pelabuhan-pelabuhan utama di rantau ini dengan Pelabuhan Muara. Mengenai dengan teknologi maklumat pula, antara lain, projek yang telah dijalankan ialah seperti pelancaran Laman Web Rasmi Kerajaan, dan sedikit masa lagi penggunaan kad pintar yakni 'smart card' akan dimulakan. Begitu juga usaha penubuhan pusat sumber maklumat Islam di kementerian yang berkaitan, akan merupakan sebahagian daripada rangkaian pusat-pusat maklumat Islam di negara-negara anggota MABIMS, yang akan membolehkan pertukaran maklumat tersebut, termasuk mengenai dengan kegiatan ajaran-ajaran sesat dan penyelewengan ugama. Alhamdulillah, keupayaan kita merancang serta menjalankan rancangan-rancangan kemajuan di negara ini sangatlah menyerlah. Ia diharapkan akan terus berlangsung tanpa gangguan, di mana keadaan-keadaan tenteram dan aman adalah menjadi jaminannya. Oleh itu, beta amatlah berharap supaya pihak-pihak yang berkenaan dengan keamanan serta juga orang ramai, akan dapat memastikan negara ini bebas daripada sebarang masalah sosial, terutamanya jenayah yang semakin meningkat. Pihak-pihak berkenaan itu hendaklah lebih peka dan tegas menanganinya, dengan cara yang lebih kemas dan professional. Menyebut pula tentang dasar luar negara, kita adalah mengutamakan prinsip-prinsip kerjasama dan dialog sama ada ia dalam tahap hubungan dua hala, mahupun serantau dan antarabangsa. Dan ke arah ini, beberapa Suruhanjaya Bersama telah pun ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama dengan beberapa buah negara luar. Negara Brunei Darussalam juga akan terus memberi keutamaan dan komitmen kepada ASEAN dan APEC sebagai dua proses penting dalam usaha untuk mewujudkan kestabilan dan kesejahteraan di rantau ini. Penghormatan yang diberikan untuk Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 2001 dan APEC pada tahun hadapan mencerminkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat antarabangsa kepada negara ini. Begitu pula dengan menjelangnya Sukan Asia Tenggara ke-20, Negara Brunei Darussalam dan negara-negara peserta yang lain tentunya akan mengharapkan sesuatu yang terbaik daripadanya. Beta berharap, tunjukkanlah gaya dan identiti kita, status kita selaku bangsa dan negara yang bernama Brunei Darussalam. Demikianlah. Pada mengakhirinya, beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan. Semoga Allah Subahanahu Wata'ala akan memberkati sumbangan ikhlas pihak-pihak yang menjayakan Sambutan Ulang tahun Hari Keputeraan beta pada kali ini. Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masingmasing. Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




