Announcements

In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts.

The schedules are as follow;

  • - Temburong District on Saturday, July 17 at Taman Perayaan Pekan Bangar.
  • - Brunei Muara District on Tuesday, July 20 at the open area in front of the Royal Regalia Building, Bandar Seri Begawan.
  • - Belait District on Saturday, July 24 at Taman Persiaran, Jalan Sungai, Kuala Belait.
  • - Tutong District on Wednesday, July 28 at Dewan Kemasyarakatan Mukim Kg Serambangun.
The events will start by 8.30pm.
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn

Events Calendar

« < September 2010 > »
M T W T F S S
30 31 1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 1 2 3
« < October 2010 > »
M T W T F S S
27 28 29 30 1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31



Visitors Counter

6229
TodayToday47
YesterdayYesterday95
This monthThis month514
1996 Brunei-Muara
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM
SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-50 TAHUN
DI BALAI SINGGAHSANA ISTANA NURUL IMAN, BANDAR SERI BEGAWAN

PADA 15 JULAI, 1996

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ' Aalameen, Wassalatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil
Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa' Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een,
Waba'du.

Di hari yang bersukut baik ini, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala atas limpah kurnia-Nya kerana mengizinkan istiadat ini berlangsung
dengan baik dan sempurna.

Beta dengan amat besar hati sukacita mengalu-alukan tetamu-tetamu khas beta,
sama ada yang datang dari jauh mahupun dekat, atas kesudian mereka itu
bersama-sama hadir bagi merayakan hari ulang tahun keputeraan beta pada
tahun ini.

Demikian juga dif-dif yang lain, serta semua pihak yang telah menghantarkan
perutusanperutusan ucap selamat bersempena dengan sambutan perayaan ini.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala jua akan mengurniakan ganjaran-Nya,
setimpal dengan ingatan baik mereka itu.

Dalam suasana yang tenang ini, kita juga merasakan getaran yang kuat dari
abad baru yang bakal menjelang, abad ke-2 l. Getaran itu melanda semua orang
dan semua negara di dunia, termasuk juga kita, Negara Brunei Darussalam.

Oleh kerana itu, semua orang tidaklah boleh lalai dari menyiapkan diri untuk
menghadapi kenyataan-kenyataan yang pasti wujud. Kita perlu bersiap
menghadapi peralihan ini.

Sesuatu peralihan tidaklah boleh dibiarkan hadir tanpa persiapan dan
persediaan. Kerana apa pun corak peralihan itu, kehadirannya adalah membawa
cabaran.

Begitulah dengan kehadiran abad ke-21, yang dibawanya ialah cabaran-cabaran.
Sama ada kita mampu atau tidak menghadapi cabaran-cabaran tersebut, semuanya
itu tertakluk kepada sejauh mana persiapan-persiapan kita.

Kita sedia mempunyai plan atau agenda pembangunan. Pembangunan kita ialah
pembangunan seimbang yang meliputi aspek-aspek pembangunan material dan
spiritual.

Dalam aspek pembangunan material, kita menuju pertumbuhan ekonomi yang
stabil dan rancak, sementara aspek spiritual pula, kita mempunyai
agenda-agenda sosial bagi menangani cabarancabaran dan perubahan-perubahan
dalam masyarakat.

Dalam dua dekad kebelakangan ini, kita dapati negara-negara dunia semakin
giat berlumba untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang setinggi-tingginya, di
samping mengejar pemodenan dan perindustrian melalui berbagai-bagai
kerjasama serantau dan antarabangsa.

Banyaklah negara-negara maju yang berjaya mencapai apa yang diperlumbakan
itu, sebagai hasil dari sikap produktif, kreatif dan inovatif rakyat serta
penduduk masing-masing.

Perkara ini sayugia elok dijadikan contoh atau iktibar oleh sesiapa sahaja.

Sungguhpun begitu, ada satu cerita lain, iaitu serentak dengan proses
pemodenan dan kemajuan yang pesat ini, negara-negara maju itu biasanya akan
semakin parah menghadapi gejala-gejala sosial sehingga menyebabkan mereka
bekerja keras dan berbelanja lebih banyak lagi untuk mengatasinya.

Kemajuan yang serupa ini bukanlah impian kita, tetapi kemajuan itu biarlah
yang dapat memperbaiki akhlak rakyat, bukan yang menghakiskannya.

Oleh itu, Negara Brunei Darussalam adalah sentiasa percaya dengan
pembangunan seimbang yang tidak sahaja menjurus kepada kebendaan, malahan
juga mengambil kira faktor-faktor rohani dan akidah.

Maka ke arah ini, Brunei Darussalam sedang mengemaskan diri dengan
sistem-sistem pendidikan dan perundangannya, kerana kedua-dua perkara ini
lebih menentukan dari yang lainlain. Pendekatan kita ini dibenarkan oleh apa
yang terjadi di dunia hari ini. Kita sedang menyaksikan berlakunya hakisan
akhlak, penyakit-penyakit sosial yang menular seperti penagihan dadah dan
aids, yang mencemari nilai-nilai kemanusiaan, yang mungkin berpunca dari
sikap manusia lebih mementingkan pembangunan ekonomi daripada pembangunan
insaniah.

Bukanlah tidak ada usaha-usaha ke arah mengubati penyakit-penyakit ini
termasuk menyediakan hukuman-hukuman tertentu. Misalnya pada waktu ini, ada
bermacam-macam hukuman dikenakan kepada penagih dan pengedar dadah,
termasuklah hukuman yang paling berat iaitu hukuman mati. Namun peratus
penagihan dadah di seluruh dunia terus sahaja tinggi dan setengahnya itu
meningkat.

Demikian pula dengan lain-lain penyakit sosial, seperti perhubungan haram,
curi, rompak dan bunuh semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk dunia ini,
tidak kira di negara mundur, negara membangun atau negara maju.

Keadaan ini membawa kerisauan dan ketakutan. Semakin maju dunia dan semakin
tinggi tamadun manusia, semakin banyak pula kerosakan yang dilakukan oleh
anasir-anasir antimanusia dan anti-tuhan itu.

Banyak sudah iktiar dibuat, berbagai akta telah pun digubal, cuma
barangkali, hukumanhukuman yang bertujuan memalukan penjenayah di khalayak
ramai yang kemudian kesannya menjadi iktibar kepada manusia, rasa-rasanya
belum lagi dicuba atau difikirkan orang. Dalarn perkara ini, agama Islam
adalah mengambil kira faktor tersebut.

Oleh itu, dengan rasa keimanan yang bulat terhadap peraturan dan
undang-undang Allah, maka beta telah memperkenankan penubuhan
mahkamah-mahkamah syara' iah sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya, bagi
menangani bukan sahaja pentadbiran undang-undang keluarga, malahan juga di
ketika yang sesuai dan munasabah akan juga mengendalikan Qanun Jina'-i Islam
yakni Islamic Criminal Act selengkapnya, sebagaimana yang dituntut oleh
Allah Subhanahu Wataala.

Beta penuh yakin, niat yang baik ini akan menjadi sumber berkat kepada
negara serta rakyat yang berlindung di dalamnya.

Dalam pada itu, suka beta mengingatkan supaya perpaduan terus dipelihara,
lebih-lebih lagi dalam keadaan kita sentiasa terdedah kepada
pengaruh-pengaruh luar, di mana pengaruhpengaruh itu biasanya menjadi racun
kepada ketahanan ummah.

Sejauh ini alhamdulillah, berkat adanya perpaduan di antara rakyat, dan di
antara kerajaan dan rakyat, maka kita telah dapat menikmati tiga unsur utama
yang menjadi idaman kepada banyak negara di dunia.

Unsur-unsur tersebut ialah:-

i. Kestabilan dalam negeri.

ii. Perkembangan serta kemajuan sosio-ekonomi yang berterusan, dan

iii. Persefahaman serta perpaduan yang membuahkan keamanan dan ketenteraman.

Dengan adanya ketiga-tiga unsur ini, rasa-rasanya tidaklah ada lagi masalah
yang merisaukan kita. Cuma janganlah kesenangan dan keselesaan itu menjadi
sebab lemahnya "daya juang" dan "daya kerja" kita. Jika kita kehilangan
semua ini, bererti dunia akan meninggalkan kita terlalu jauh. Sebab masa
sekarang dan akan datang adalah zaman bersaing.

Maka dalam hubungan ini, terutama dalam bidang perkhidmatan awam, beta
berharap semua kementerian dan jabatan kerajaan akan terus memastikan bahawa
mereka itu bekerja sebagai satu pasukan yang gigih dan penuh semangat, demi
untuk mencapai matlamat pentadbiran yang cekap, bersih lagi amanah.

Di samping itu, kita juga perlu mengambil ingatan, bahawa kunci pembangunan
dan kemajuan juga turut dipegang oleh rakyat. Oleh itu, kerajinan dan
ketitihan rakyat bagi sama-sama meneroka berbagai kegiatan adalah amat
diperlukan.

Wawasan kita ialah mempelbagaikan ekonomi negara sambil mengurangkan
pergantungan kepada industri minyak dan gas semata-mata.

Perkara ini boleh dicapai, sekiranyan kita mempunyai perancangan dan
pengendalian yang benar-benar mantap, serta ianya diuruskan oleh
tenaga-tenaga yang berpotensi lagi berkualiti.

Dan ke arah ini, kita setentunya memerlukan asas sumber manusia yang
sekukuh-kukuhnya.

Apabila semua ini sudah ada, maka insya-Allah, apa yang kita cita-citakan
akan mudah dicapai, berdalilkan kepada banyak negara di dunia yang
memperlolehi kemajuan mereka walaupun tanpa memiliki hasil bumi yang banyak.

Satu perkara lagi yang mustahak ditekankan, bahawa kita membangun adalah
dengan usaha dan gaya kita yang tersendiri, menurut cara dan perkembangan
yang sihat lagi selamat, yang sesuai dengan lunas-lunas ajaran agama lslam.

Pembangunan dan kemakmuran juga akan lebih mudah dicapai melalui pendidikan
dan pengetahuan. Oleh itu, kerajaan beta senantiasa mengambil berat untuk
melengkapkan generasi atau angkatan muda kita dengan berbagai kemahiran dan
kepandaian yang perlu.

Mereka ini, kita dedahkan kepada peluang-peluang yang baik, sebagai hasil
perubahanperubahan pesat di rantau ini dan juga peningkatan globalisasi
ekonomi dunia.

Walaupun pada masa ini peluang untuk Brunei Darussalam mempelbagaikan
ekonominya adalah lebih cerah, berbanding dengan 20 tahun yang lalu, namun
begitu, ianya hanya akan dapat dicapai jika para belia mengubah sikap dan
turut merebut peluang-peluang yang ada.

Para belia mestilah melengkapkan diri dengan berbagai kemahiran, bagi
membolehkan mereka itu tampil selaku sumber tenaga yang boleh digunakan
dalam perusahaan "valueadded" berteknologi tinggi serta yang berasaskan
teknologi maklumat.

Di samping itu, pendekatan bersepadu antara institusi keluarga, sistem
persekolahan dan masyarakat juga, adalah perlu untuk menjamin kewujudan
landasan-landasan yang kukuh.

Ini, dapat diharapkan bagi melahirkan belia-belia yang mempunyai sistem
nilai yang bersesuaian dengan aspirasi negara, yang mempunyai
kemahiran-kemahiran serta tanggungjawab selaku penyumbang.

Mengenai hubungan luar negeri, alhamdulillah, kita juga dapat memberi
sumbangan di dalam forum-forum serantau dan antarabangsa di mana kita turut
menjadi ahlinya.

Melalui interaksi dengan negara-negara anggota masyarakat antarabangsa itu,
kita telah dapat mengambil manfaat yang bukan sedikit.

Di segi yang tertentu, negara kita adalah mampu untuk menjadi pusat utama
ekonomi dalam BIMP-EAGA yakni the prime hub of BIMP-EAGA.

Jika ini berlaku, maka dengan sendirinya ia akan dapat menarik serta
menggalakkan pelaburan di negara ini, meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti
ekonomi dan industri, dan juga secara langsung akan menyumbangkan
perkhidmatan ke arah aktiviti-aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan BIMP-EAGA
yang berdekatan.

Di samping itu, melalui Kementerian Perhubungan, kerajaan juga sedang
melaksanakan perancangan bagi menjadikan negara ini sebagai pusat
perkhidmatan perdagangan dan pelancongan sebelum tahun 2003.

Dalam pada itu, mustahak juga diingat, bahawa negara ini akan tetap
memberikan keutamaan kepada perdagangan dan perusahaan dalam negeri.

Melalui Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, kerajaan beta
telah menubuhkan "Semaun Holdings" sebagai sebuah agensi yang akan
mengendalikan pelaburan dan perdagangan kerajaan. Antara peranannya ialah
untuk meningkatkan pembangunan perindustrian dan komersil negara.

Ia akan berjalan menerusi pelaburan secara langsung dalam sektor-sektor
utama dan juga di bidang-bidang tertentu, seperti pemerosesan makanan untuk
mengurangkan beban pengimportan makanan.

Selain itu, akan merangkum juga bidang-bidang lain termasuk pertanian,
perikanan dan perhutanan, sebagaimana yang dimaksudkan dalam Rancangan
Kemajuan Negara. Dalam bidang kewangan, kita telah pun menjadi ahli Tabung
Kewangan Antarabangsa yakni IMF dan Bank Dunia mulai tahun lalu.

Dengan menganggotai IMF dan Bank Dunia ini, membolehkan kita untuk
mendapatkan bantuan teknikal dalam hal-hal fiskal dan kewangan bagi membantu
memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara melalui dasar-dasar
kewangan yang kukuh.

Di bidang kesihatan, kita terus komited pada memberikan perkhidmatan
perubatan dan kesihatan yang bermutu, bagi memastikan setiap rakyat dan
penduduk dapat menikmati tahap kesihatan yang tinggi. Di samping itu kawalan
ketat akan juga terus dipertingkatkan dari masa ke semasa terhadap
kemungkinan-kemungkinan negatif adanya penyakit-penyakit merbahaya yang
dibawa daripada luar, di mana hal ini menjadi masalah kepada
setengah-setengah negara di dunia.

Dalam menangani kesihatan dan kesejahteraan rakyat ini, kita juga sedang
giat melaksanakan projek-projek perumahan, iaitu dengan matlamat memberikan
tempat kediaman yang selamat dan selesa kepada rakyat dan penduduk.

Kita akan menanai dan meluruskan perjalanan negara di bawah satu slogan:
Menuju Keredaan Allah.

Kita juga akan melangkah dan menghampiri abad ke-21 dengan azam yang bulat
untuk membawa sinaran baru kepada rakyat dan negara, serta juga akan terus
menghulurkan salam persahabatan yang mesra kepada rakan-rakan kita
warganegara dunia.

Akhirnya, beta dengan segala tulus ikhlas ingin merakamkan penghargaan dan
ucapan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk yang telah
memberikan kerjasama dan sokongan terhadap kerajaan beta, dalam melaksanakan
tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Dan juga kepada semua kakitangan kerajaan, selaku penggerak pentadbiran
negara dan kepada sektor swasta yang telah sama-sama menyumbangkan bakti
kepada negara.

Kepada semua anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja
Brunei dan pasukan-pasukan keselamatan yang lain serta orang awam, beta juga
sukacita mencatatkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama mereka
dalam sama-sama memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman negara.

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada
Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan termasuk di daerah-daerah, di atas
penat-lelah mereka mengatur dan mengendalikan rancangan-rancangan perayaan.

Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, dan dengan berkat syafaat
Nabi kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, semoga sekalian
rakyat dan penduduk yang beta kasihi akan sentiasa beroleh kejayaan, bersatu
padu dan makmur di bawah panji-panji negara yang indah, yang aman merdeka
lagi sentosa ini, Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.