Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6233
![]() | Today | 51 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 518 |
| 1995 Brunei-Muara |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA' ADUL KHAIRI W ADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA HARI KEPUTERAAN YANG KE-49 TAHUN BERTEMPAT DI BALAI SINGGAHSANA ISTANA NURUL IMAN PADA 15 JULAI, 1995 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahi Rabbil' Aalameen, Wassalatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa 'Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du. AlhamdulilIah, beta bersyukur ke hadrat AlIah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan rahmat-Nya sehingga dapat pula kita berkumpul di pagi yang indah ini untuk sama-sama meraikan ulang tahun hari keputeraan beta yang ke-49 tahun. Beta dengan ikhlas dan sukacita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua tetamu beta dari luar negara, yang sudi sama-sama hadir untuk meraikan hari yang penuh dengan kegembiraan ini. Beta juga menujukan ucapan yang sama kepada dif-dif sekalian dan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan-pemtusan ucap selamat bersempena dengan sambutan perayaan ini. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala jua yang akan membalas ingatan baik mereka itu dengan ganjaran yang setimpal. Suka beta tegaskan, bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang sangat-sangat mengambil berat soal keamanan dan ketenteraman. Ia juga merupakan matlamat kita satusatunya, sebagai sumbangan yang terbesar untuk semua. Tegasnya kita adalah komited dalam memelihara keadaan aman dan stabil itu, bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata, malahan juga sebagai dasar dan falsafah kita ketika menjalin hubungan dengan negara-negara luar, sama ada yang dekat mahupun jauh. Kita sekarang terlibat dalam berbagai inisiatif, termasuklah berbagai dialog ASEAN dan Forum Serantau ASEAN yakni ASEAN Regional Forum, yang menghimpunkan semua kuasa-kuasa besar, pertengahan dan kecil dalam satu rangka kerja. Pada tahun ini, penglibatan dan peranan kita akan lebih jauh lagi dengan menjadi pengerusi kepada berbagai persidangan ASEAN dan juga Forum Serantau ASEAN. Insya-Allah, dalam hubungan ini, matlamat dan falsafah membina keamanan dan kestabilan itu akan tetap menjadi pegangan kita. Serentak dengan memelihara keamanan dan keselamatan, kita juga melipatgandakan usaha dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi. Kita terus memajukan lagi pelbagai perusahaan di negara ini, supaya kita juga akan dapat menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat sebagaimana yang dinikmati oleh rakan-rakan kita di rantau Asia- Pasifik. Matlamat kita yang utama ialah memenuhi keperluan-keperluan jangka pendek dan jangka panjang menghasilkan bahan-bahan makanan. Kita tidaklah boleh selamanya bergantung kepada bahan-bahan import tanpa imbangan yang melebihi, atau setidak-tidaknya mencukupi bagi keperluan sendiri. Dan untuk itu, penglibatan semua pihak daripada kerajaan dan pihak swasta adalah amat dikehendaki. Kita sedang mengambil pendekatan yang terbuka dan positif dalam kerjasama ekonomi berbilang hala, termasuklah usaha mempercepatkan lagi perlaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN dari jangka waktu 15 tahun kepada 10 tahun. Demikian juga kita turut terlibat bagi mewujudkan suasana perdagangan dan pelaburan bebas di rantau Asia-Pasifik tidak lewat dari tahun 2020, dan telah turut mengesahkan komitmen kita dalam Perjanjian Pusingan Uruguay Pertubuhan Perdagangan Dunia yakni WTO. Menyedari keadaan negara dengan bilangan penduduknya yang kecil, peluang-peluang kita dalam ekonomi dan perdagangan adalah terbatas. Kerana itu penglibatan kita dalam berbagai kerjasama dengan negara-negara luar itu dianggap mustahak bagi meluaskan peluang-peluang yang sempit ini, umpamanya dengan melalui keIjasama ASEAN yang telah mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, maka peluang pasaran kita menjadi meningkat daripada 260 ribu kepada kira-kira 340 juta pengguna. Demikian juga melalui keahlian dalam kerjasama ekonomi Asia-Pasifik, telah menjadikan peluang pasaran kita meningkat kepada lebih 2 bilion pengguna. Maka kerana terdapatnya manfaat seumpama inilah, dalam konteks "global", negara kita juga telah menjadi ahli kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia atau World Trade Organisation yang baru ditubuhkan itu. Selaras dengan komitmen-komitmen yang ada serta dasar perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka, maka kerajaan beta telah mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi mewujudkan perdagangan dan pelaburan yang lebih menarik, misalnya dengan pengurangan kadar tarif bagi sejumlah barangan, dan juga meluaskan skop penswastaan bagi kemudahankemudahan perkhidmatan tertentu. Semua langkah ini ialah untuk memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan bagi menarik lebih ramai lagi pelabur-pelabur asing. Dan yang berikut, akan juga dengan sendirinya membuka peluang-peluang untuk pengusaha-pengusaha sama ada tempatan ataupun asing, untuk samasama meneroka bidang-bidang perusahaan yang dianggap dapat mendatangkan manfaat dan keuntungan. Dalam hubungan ini, mustahak bagi setiap kementerian untuk mengemaskan semua bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing, serta mengenal pasti perkara-perkara yang memerlukan pembaikan bagi memudahkan perkembangan bidang industri dan lain-lain kegiatan ekonomi di negara ini. Pembaikan tersebut mungkin nampaknya kecil tetapi besar kepada pengusahapengusaha dan pelabur-pelabur. Di samping itu, rakyat dan penduduk perlu memiliki sifat suka bersaing. Dan atas dasar inilah, bagi tujuan mengukuhkan lagi daya saing kita, kerajaan beta telahpun mendapatkan khidmat pakar dari sebuah institusi terkenal bagi melaksanakan satu kajian pelan perkembangan industri untuk maksud supaya dapat membantu kita dalam menyediakan perancangan pembangunan industri yang lebih berkesan. Hasil daripada kajian itu nanti akan dilaksanakan melalui Rancangan Kemajuan Negara Ketujuh yang akan bermula pada tahun 1996. Satu hal yang membanggakan, terdapat di kalangan anak-anak tempatan masa ini yang telah sanggup menjalankan pelbagai perkhidmatan, yang dahulunya hanyalah dikendalikan oleh kerajaan. Sekiranya lebih ramai lagi yang berkesanggupan sedemikian itu, maka kerajaan beta insya-Allah, akan sedia pula meluaskan lagi bidang penswastaan dengan berbagai-bagai perkhidmatan yang difikirkan bersesuaian dari masa ke semasa. Pada masa ini, kita telah pun menswastakan Sistem Telefon Bergerak Selular yakni CMSTD dan Airport Commercialisation. Demikian juga, pihak swasta telah melibatkan diri sepenuhnya dalam pengendalian Muara Export Zone. Bagaimanapun, perkhidmatan-perkhidmatan tertentu itu walaupun sudah diswastakan, namun kerajaan beta akan tetap memastikan yang perkhidmatan-perkhidmatan tersebut adalah sangat bermutu serta dalam lingkungan harga yang berpatutan yang tidak memberatkan orang ramai. Ini sudah menjadi dasar kerajaan beta, iaitu mengutamakan perkhidmatan-perkhidmatan yang bersih dan berkualiti, serta hasilnya pula dapat memberikan kesenangan kepada rakyat. Satu contoh dapat beta sebutkan di sini ialah perkhidmatan mendirikan rumah-rumah di bawah Skim Perumahan Negara dan Skim Kurnia Kepada Rakyat Jati. Rancangan ini tidak syak lagi, adalah sebuah rancangan yang benar-benar berjaya dalam memenuhi kehendak-kehendak pembangunan yang diperlukan oleh rakyat. Demikian pula kerajaan beta akan terus melipatgandakan usaha dalam mempertingkatkan lagi tahap infrastruktur dan lain-lain perkhidmatan, seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Pelabuhan Muara dan Perkhidmatan Telekom, mestilah ianya benar-benar unggul, dengan mempunyai ciri-ciri moden yang dapat dibanggakan. Kita tidaklah mahu, hanya pembiayaannya sahaja yang tinggi sedangkan mutunya dan mutu perkhidmatannya tetap di tahap yang rendah. Begitu juga lain-lain kemudahan, terutama yang menjadi kemudahan asasi seperti jalan raya, pembinaan dan pembaikannya akan berjalan terus, dengan keutamaan diberikan, bukan hanya setakat kita membina dan membaik-pulih sahaja, malahan dipastikan juga, semuanya itu akan berjalan dengan cukup sempuma, di bawah perkhidmatan yang bermutu, supaya hasilnya juga bermutu. Bercakap mengenai dengan mutu pembangunan ini, tidaklah lengkap jika kita melupakan "mutu insani" yakni mutu manusia. Malahan dari sinilah sepatutnya bermula segala-galanya itu. Kerana itu, ingin beta tekankan bahawa peranan membina mutu manusia itu adalah di tangan kita sendiri dengan cara dan gaya yang bermacam-macam, tetapi lebih terpikul kepada pendidikan dan agama. Peranan ini sebenarnya besar, bukan hanya dengan mengadakan sekolah-sekolah dan tempattempat pengajian sahaja, malahan isi dan dasarnya juga adalah lebih utama lagi, jika isi dan dasarnya itu betul dan bermutu, maka barulah ada harapan kita akan dapat menghasilkan manusia-manusia yang bermutu pula. Mutu yang kita kehendaki ialah mutu menurut perspektif kita sendiri. Beta yakin, huru-hara yang .berlaku di sana sini, tidak terkecuali juga di negara-negara yang maju, adalah kerana faktor "mutu insani" ini tidak diambil hirau oleh mereka. Pada beta, tahap akademik sahaja bukanlah mesti menunjukkan kepada tahap kesempurnaan mutu seseorang, jika sekiranya ia belum lagi memiliki nilai-nilai yang lain, seperti semangat dan perasaan cintakan negara, taat setia yang tidak berbelah bahagi serta lain-lain sifat yang luhur. Oleh itu, pencapaian terhadap mutu atau nilai ini mestilah dijadikan objektif kita yang terpenting dalam pembangunan. Serentak dengan menekankan dasar ini di dalam negara, ianya juga perlu difahami oleh pelajarpelajar kita di luar negara, sama ada mereka itu tajaan kerajaan ataupun bukan. Apabila ini ada, maka tidaklah akan berlaku pertarungan di kalangan generasi kita, walaupun mereka itu kita hantar ke mana-mana jua untuk mengikuti pengajian, bukan sahaja ke negaranegara tradisional bahkan juga ke negara-negara seperti Amerika, Jepun dan Kanada. Dasar kita akan terus mementingkan pendidikan sebagai usaha mendapatkan sumber tenaga manusia yang berkualiti. Tetapi kualiti yang kita utamakan ialah keyakinan serta moral menghargai diri sendiri, bukan seperti setengah-setengah tempat mengamalkan trend sekular yang terlampau bebas, walaupun dengan memburuk-burukkan insititusi-institusi negara yang patut dihomlati. Akhimya, beta mengambil peluang merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini yang telah memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan beta dalam sama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman negara. Ucapan yang sama juga beta tujukan kepada semua kakitangan kerajaan termasuklah mereka yang berkhidmat dalam Pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei selaku pelaksana tanggungjawab-tanggungjawab kerajaan. Demikian juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, yang menyumbangkan sumbangan mereka untuk sama-sama membangun dan memakmurkan negara Ini. Begitu juga kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan, sama ada di peringkat kebangsaan atau daerah, beta juga tidak melupakan usaha-usaha mereka itu dalam menyusun dan menjalankan rancangan-rancangan perayaan. Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




