Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6541
![]() | Today | 44 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 826 |
| 1994 - BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA HARI KEPUTERAAN YANG KE-48 TAHUN BERTEMPAT DI BALAI SINGGAHSANA ISTANA NURUL IMAN PADA 15 JULAI, 1994 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahi Rabbil ' Aalameen, Wassalatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa' Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du. Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan rahmat-Nya, sehingga istiadat yang berkebajikan ini dapat berlangsung dalam suasana yang indah. Beta dengan ikhlas dan sukacita, lebih dahulu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada tetamu-tetamu beta, daripada luar negara, yang telah sudi meluangkan masa untuk hadir bersama-sama di istiadat ini. Demikian juga ucapan yang sama kepada dif-dif sekalian serta semua pihak yang telah menghantarkan perutusan-perutusan ucap selamat mereka, bersempena dengan sambutan perayaan ini. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala akan membalas ingatan baik mereka itu dengan ganjaran-Nya. Sesungguhnya kita dapatlah bergembira, kerana sambutan ini berlangsung di dalam suasana yang aman dan selesa. Keamanan, tidak diragukan lagi, telah menjadi punca bagi kesejahteraan kita. Kerana itulah, ia sentiasa konsistan sebagai dasar yang diutamakan oleh kerajaan beta. Ia akan terus dan tetap diperkukuh, dengan menyiapkan asas-asas rancangan dalam pembangunan negara. Dari rancangan-rancangan ini, kita akan melihat hasilnya. Dan hasil itulah yang dinamakan buah dari pembangunan. Kalau buah itu lebat dan lazat, maka itulah dia kemajuan dan kejayaan, sementara jika sebaliknya, maka itulah pula kegagalan. Kejayaan dalam pembangunan ini, akan membawa berbagai nikmat, termasuklah nikmat keamanan dan kesejahteraan. Sebaliknya, pembangunan yang gagal, boleh menghancurkan harapan serta mencetuskan huru-hara. Ini dapat kita kesan dari keadaan-keadaan yang ada, di mana banyak negara yang mengalami huru-hara pada hari ini, adalah berpunca dari kegagalan mereka membangunkan negara masingmasing. Ataupun, jika pembangunan itu tidak seimbang di antara kebendaan dan rohani, juga akibatnya tidak dapat menghasilkan kesejahteraan dan keamanan itu. Maka berasaskan inilah, kita juga tidak mahu ketinggalan pada menyiapkan rancangan demi rancangan. Beta berharap, baik rancangan-rancangan itu yang sudah dilaksanakan, mahupun yang akan menyusul kemudian, hendaklah ianya seimbang serta berjalan dengan teratur dan lancar. Kita mestilah sama-sama menjadikannya dasar dan falsafah, sebagai teras survival bangsa dan negara. Kita juga akan menitikberatkan, mekanizam pelaksana dari semua peringkat. Kita mengharapkan mereka itu, akan sama-sama bersikap gigih, cekap dan cekal serta berani dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Dan ke arah ini, kita akan sentiasa mencari jalan, bagi membekalkan kemahiran-kemahiran dengan mengadakan berbagai kursus dan seminar, seperti baru-baru ini kerajaan telah menganjurkan satu seminar yang diberi nama Seminar Pengurusan Islam, semat-amata untuk mengemaskinikan lagi, disiplin kerja dalam era pembangunan yang pesat. Azam kita yang utama, ialah menyediakan pelbagai kemudahan, terutama kemudahankemudahan asas, seperti perumahan dan lain-lain. Projek-projek perumahan melalui skim-skim yang ada, akan tetap diteruskan. Kerana beta yakin, permintaan untuk ini akan sentiasa meningkat, berdasarkan pertambahan penduduk dari masa ke semasa. Salah satu kemajuan yang boleh dibanggakan, ialah apabila setiap orang di dalam sesebuah negara itu memiliki rumahnya sendiri. Dalam makna, tinggi manapun juga kemajuan yang dicapai, jika masih ada rakyat yang tidak mempunyai rumah untuk berteduh, maka kemajuan itu belumlah besar ertinya. Rumah dan rumahtangga adalah merupakan ciri terpenting bagi menentukan sesebuah masyarakat yang bertamadun. Kerana dari rumahlah bermula segala-galanya itu. Di sinilah tempat beribadat, tempat mengasuh diri dan peribadi, dan juga tempat menyemai dan menanam benih-benih luhur terhadap bangsa dan negara. Kemudian selain pembinaan rumah melalui skim-skim khas ini, rumah-rumah yang dibina oleh orang perseorangan juga, nampaknya kian bertambah. Di mana-mana sahaja terdapat kawasankawasan hutan, bukit dan paya yang diteroka untuk tujuan ini. Inipun, satu lagi tanda kemakmuran, yang sedang kita nikmati pada hari ini. Selaras dengan pertumbuhan masyarakat maju, kerajaan beta juga melakukan pembangunan infrastruktur sehingga ke kampung-kampung. Dan di samping itu jika perlu, kita juga akan melengkapkannya dengan berbagai kemudahan, seperti klinik-klinik kesihatan dan sekolahsekolah. Menyebut mengenai dengan sekolah, bermakna kita menyentuh bidang pendidikan, iaitu bidang yang sungguh penting, sebagai punca kekuatan dan ketahanan bangsa. Kita turut risau, kerana di mana-mana orang memperkatakan tentang dasar dan sistem pendidikan. Banyak negara yang mengeluh kerana mendapati sistem mereka kurang berjaya, untuk melahirkan anak-anak dan belia-belia yang berakhlak tinggi. Sebaliknya yang berkembang itu ialah, pelajar-pelajar dan belia-belia, yang terlibat dengan dadah, yang minum minuman keras, yang mencuri, yang melawan guru dan seumpamanya. Semua ini kita jadikan bahan berfikir, bagaimana hendak membendungnya secara efektif. Di sinilah dasar dan sistem pendidikan itu perlu dilihat, sebagai wadah mewujudkan bangsa yang beriman di samping mempunyai pengetahuan keduniaan. Tidaklah sukar untuk mengetahui kejayaan atau kegagalan satu-satu sistem itu. Peribadi dan pembawaan pelajar adalah menjadi cermin, bagi pendidikan yang mereka terima. Walaupun dia seorang penuntut ugama umpamanya, apabila peribadi dan pembawaannya bercanggah dengan nilai-nilai ugama, maka ini tandanya sistem pendidikan ugama itu gagal. Begitulah juga dengan ukuran secara menyeluruh, apabila nilai-nilai negatif itu berkembang dan subur di dalam masyarakat, maka ia secara langsung berkaitan dengan pendidikan. Demikianlah besarnya peranan pendidikan itu. Sedikit mengenai dengan perhubungan antarabangsa. Kita telah pun menjalin hubunganhubungan yang mesra dengan negara-negara luar, sebagai asas untuk mewujudkan persefahaman. Dengan adanya hubungan-hubungan ini, dapatlah kita sama-sama mengenali dan menghormati kemerdekaan serta kedaulatan masing-masing, sebagaimana kelaziman bagi bangsa-bangsa yang bertamadun. Melalui hubungan-hubungan ini, kita juga dapat mengadakan kerjasama .yang bermanfaat, seperti baru-baru ini, kerajaan beta dan Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala. Suruhanjaya ini akan menjadi forum kepada kedua-dua belah pihak bagi membincang dan merangka berbagai bentuk kerjasama. Dan selain itu, ia juga boleh digunakan untuk mencari jalan, ke arah menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin timbul. Adapun usaha yang kita rintis di bidang perhubungan ini, bukan sahaja terbatas kepada hubungan-hubungan dua hala yang biasa. Malahan juga lebih luas dari itu. Misalnya baru-baru ini, kita amat berbangga dengan tertubuhnya dua buah pusat, iaitu Ibu Pejabat Pusat Serantau Bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara yakni SEAMEO-VOCTECH dan Pusat Pengurusan ASEAN-EC. Pusat-pusat ini turut memberi imej yang baik kepada negara, dan juga sebagai bukti bahawa kita turut berkecimpung di arena antarabangsa. Selain bagi tujuan menjalinkan persefahaman, perhubungan juga dijadikan landasan untuk meneroka banyak bidang, khasnya bidan-gbidang ekonomi dan perdagangan. Dalam ASEAN, kita turut mendukung wawasan yang dinamik, dengan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN yakni AFTA. Begitu juga kita terlibat dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik yakni APEC, dan sama-sama mengorak langkah untuk menjayakan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN yakni EAGA yang baru ditubuhkan itu. Bidang perdagangan antarabangsa hari ini, adalah seperti medan peperangan layaknya. Masingmasing pihak melakukan apa sahaja, demi untuk melindungi kepentingan masing-masing. Bagi setengah pihak, keghairahan mengejar keuntungan, sangat mendorong mereka untuk menggunakan taktik-taktik yang tidak sihat, seperti menganjurkan sekatan-sekatan tertentu, atau mengaitkannya dengan isu-isu yang senghaja diadakan, seperti isu-isu hak asasi manusia, pencemaran alam dan seumpamanya. Kerenah-kerenah yang tidak berasas seumpama ini, mungkin sahaja terus berlaku sampai bilabila, iaitu sebagai menguji ketabahan kita. Jika kita tetap gigih dan bersedia meneruskan wawasan-wawasan kita yang baik, insya-Allah, masanya akan tiba juga untuk rantau ini dihormati dan dikagumi. Seperti di mana-mana, kita juga berusaha untuk menjadikan negara ini, lebih menarik bagi pelabur-pelabur, khasnya dari luar negara. Dan untuk ini, langkah memperbaiki dan memodenkan kemudahan-kemudahan infrastruktur akan terus dijalankan. Melalui kementerian-kementerian berkenaan, usaha terus dibuat untuk membaiki lagi, keadaan jalan raya serta lain-lain perkhidmatan asas. Jalan raya yang baik dan teratur, merupakan nadi kepada negara. Usaha mengatasi kesesakan akan diteruskan. Demikian juga pembaikan jalan-jalan yang rosak, perlu diusahakan dengan cara profesional dan berkesan, bukannya setakat menampal, ditampal hari ini, dua tiga hari kemudian, berlopak semula. Demikian juga mustahaknya kita mengawal dan memelihara longkang-longkang secara bersama, di antara kerajaan dan orang ramai. Kita jangan membuang sampah di dalam longkang-longkang itu. Begitu juga tanah-tanah yang diteroka serta pembinaan bangunan-bangunan baru, hendaklah mengambil kira masalah pengaliran air ini, bagi mengelakkan banjir dan pencemaran. Semua ini kelihatannya remeh, tetapi kepentingannya cukup besar dan mencabar. Ia menjadi ukuran perkhidmatan yang sempurna dan cekap, serta turut menentukan baik buruknya imej negara. Semua perkhidmatan itu, adalah ditentukan oleh mutu pegawai dan kakitangan kerajaan. Ilmu dan pengalaman berganding rapat menjadi penentu. Sebab itulah, usaha-usaha menambah kualiti ini, akan tetap diteruskan, dengan cara, memberikan latihan-latihan sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Dan adapun kita yang menjalani latihan itu, mestilah betul-betul cara orang berlatih, bukannya setakat untuk memenuhkan rekod perkhidmatan, atau dijadikan sebagai kesempatan berehat dan lain-lain. Masanya sudah sampai untuk semua orang memikul tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan gigih. Sebagai langkah untuk menilai rancangan-rancangan kerajaan, beta telah pun memperkenankan penubuhan sebuah Review Committee, yang antara lain tugasnya, untuk memastikan setiap rancangan, yang terkandung dalam Rancangan Kemajuan Negara itu, adalah berjalan dengan baik dan sempurna, serta menepati waktunya. Mudah-mudahan segala usaha ini akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wataala, amin. Akhirnya, beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih beta kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk yang telah memberikan kerjasama dan sokongan mereka kepada kerajaan beta, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Ucapan yang sama juga kepada semua kakitangan kerajaan, selaku penggerak pentadbiran negara. Kepada semua pegawai dan kakitangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta orang ramai, beta juga sukacita mencatatkan setinggi-tinggi penghargaan, di atas kerjasama mereka, dalam memelihara keamanan, dan keselamatan negara ini. Kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Perayaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun daerah, beta juga tidak melupakan mereka itu, di atas penat-lelah mereka menyusun dan melaksanakan rancangan-rancangan perayaan. Semoga Allah jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang setimpal. Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




