Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6238
![]() | Today | 56 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 523 |
| 1990 - BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MUIZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERSEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-44 DI BALAI SINGGAHSANA, ISTANA NURUL IMAN BANDAR SERI BEGAWAN PADA 15 JULAI, 1990 Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan para pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayat-Nya jua telah mengizinkan kita sekali lagi hadir beramai-ramai di istiadat yang permai pada hari ini. Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan terima kasih dan mencatatkan penghargaan kepada semua dif-dif yang hadir, dan kepada semua pihak yang telah menghantarkan utusan-utusan ucap selamat sempena sambutan perayaan ini. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan balasan yang setimpal di atas ingatan baik dari semua pihak yang berkenaan itu. Dengan berkat perlindungan Allah Subhanahu Wataala, kita di Negara Brunei Darussalam telah dikurniakan keselamatan serta suasana aman dan tenteram, yang mana membolehkan kita untuk meneruskan berbagai usaha dan rancangan bagi kemajuan serta kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini. Kita hendaknyalah memanfaatkan sepenuhnya keselamatan dan ketenteraman yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala itu bagi mempertingkatkan lagi kemajuan dan pembangunan negara sama ada di pihak kerajaan mahupun di pihak swasta. Bagi memastikan penerusan pencapaian kemakmuran dan pembangunan yang kita hajati itu, adalah penting bagi segenap rakyat dan penduduk di negara ini untuk mempunyai kesedaran, betapa mustahaknya hidup bersatu padu dan bersefahaman serta hormat-menghormati di antara satu dengan lain. Yang paling utama ialah sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati perlu terus dipupuk di antara pihak kerajaan, swasta dan orang ramai. Kerana tanpa persefahaman di kalangan pihak-pihak yang beta nyatakan itu, ianya tidak akan dapat mewujudkan kestabilan sosial dan politik mahupun juga kelicinan di dalam melaksanakan rancangan-rancangan kemajuan dan pembangunan. Begitu juga, tanpa tolak ansur dan kesediaan untuk bermuafakat, akan menimbulkan suasana keruh dan syak wasangka yang merugikan yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara ini. Oleh kerana itu, amatlah perlu bagi ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, swasta dan orang ramai mengamalkan sikap berterus terang secara ikhlas dan jujur yang membina di dalam menyelesaikan dan mengatasi apa jua masalah. Adalah menjadi hasrat beta untuk meningkatkan ketahanan nasional dalam menghadapi berbagai cabaran sosial dan ekonomi dunia di abad ke- 21. Maka untuk mencapai hasrat ini, negara adalah memerlukan rakyat dan penduduk yang berdisiplin, bersopan santun dan penuh pemedulian, serta sentiasa bersikap dedikasi dan mempunyai komitmen kepada tanggungjawab dan tugas masing-masing. Di dalam konteks ini, orang-orang yang diamanahkan dengan tanggungjawab dan kewajipan, sama ada dalam kerajaan mahupun dalam masyarakat pada amnya, hendaklah mempunyai semangat bekerjasama yang kukuh sambil berusaha melenyapkan perasaan mementingkan diri sendiri. Hanya dengan semangat bekerjasama di antara satu dengan lain saja, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni. Bagi pembentukan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai yang positif untuk menjamin masa depan rakyat di negara ini, adalah perlu supaya soal latihan dan bimbingan untuk mereka diambil perhatian yang sewajarnya. Latihan dan bimbingan yang beta maksudkan itu haruslah dilaksanakan secara berterusan untuk semua golongan masyarakat, khusus bagi belia-belia dan pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan, dan juga pihak swasta, dan dilaratkan juga kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung. Dengan adanya latihan dan bimbingan yang menekankan ciri-ciri hidup berdisiplin, beradat-lembaga dan beragama, akan dapat melengkapkan lagi belia-belia dan generasi-generasi muda kita untuk menghadapi cabaran-cabaran masa depan dan seterusnya untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta kesucian agama. Menyentuh mengenai dengan pembangunan negara, kerajaan adalah menitikberatkan perlaksanaan rancangan-rancangan pembangunan kemajuan iaitu menurut keutamaan dan kepentingan-kepentingan asas rakyat serta penduduk negara ini. Di antara keperluan-keperluan asas rakyat dan penduduk itu, ialah perumahan, maka di dalam hubungan ini, skim perumahan bagi rakyat yang tidak mempunyai tanah adalah merupakan jawapan yang positif kepada masalah tersebut. Cuma tinggal saja lagi, sejauh manakah perlaksanaan rancangan itu telah dapat mengatasi kesulitan-kesulitan rakyat, mestilah juga dikaji dan dikenalpasti, umpamanya tentang golongan-golongan yang berpendapatan rendah, yang kurang ataupun tidak berupaya langsung untuk memenuhi syarat-syarat yang dikenakan, apakah tidak mustahak bagi pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan menambahkan kajian dan penelitiannya lagi, sehingga kesulitan-kesulitan rakyat itu benar-benar dapat dihuraikan dengan saksama dan berkesan. Demikianjuga keperluan asas seperti pembinaan dan pemeliharaan jalan-jalan raya, adalah amat mustahak ianya diawasi dari masa ke semasa, supaya terjamin ketahanan dan kebersihannya. Jalan-jalan raya yang bersih dan sistematik, boleh menjadi punca atau sumber kesihatan dan keselesaan yang amat berguna. Dan jika perlu bagi tujuan ini, kita tidak salah untuk membuat kawalan-kawalan, seperti melalui peraturan-peraturan yang tertentu, sebagaimana juga terdapat di negaranegara lain yang membuat peraturan seperti itu. Air, letrik dan telefon, juga merupakan keperluan- keperluan asas yang sangat-sangat diutamakan oleh kerajaan. Kerana itu, bagi sistem pembekalan dan pengawalannya, kerajaan telah pun membelanjakan wang begitu banyak. Beta berharap, kita bukan saja pandai berbelanja, tetapi juga dapat menunjukkan perkhidmatan-perkhidmatan yang efisien serta berkesan, setimpal dengan perbelanjaan-perbelanjaan yang besar itu, sehingga pada akhimya dapatlah kita mengatasi kelemahan-kelemahan dan kesulitan-kesulitan yang sering dihadapi selama ini. Sejajar dengan dasar kerajaan melaksanakan perancangan dan perkembangan pentadbiran mengikut kemampuan dan keutamaan di sepanjang tahun 1989 dan 1990, berbagai-bagai perkembangan telah dapat dilakukan, antara lain ialah pembukaan sebuah cawangan perbendaharaan yakni sub-treasury di Daerah Temburong. Dengan adanya penubuhan cawangan ini, akan dapat memberikan kemudahan-kemudahan kepada rakyat dan penduduk di Daerah Temburong untuk berurusan dengan Pejabat Kewangan di dalam membuat pembayaran ataupun menerima pembayaran, yang mana sebelumnya mereka terpaksa ke Bandar Seri Begawan untuk membuat urusan-urusan kewangan mereka. Insya-Allah, perkhidmatan-perkhidmatan seperti ini akan sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan bagi menampung keperluan semasa. Di dalam aspek lain, dengan terdapatnya keupayaan yang meningkat oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, satu kemajuan juga telah dicapai pada tahun ini dalam mana jemaah-jemaah haji kita yang menunaikan fardu haji ke Mekah telah diterbangkan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei sendiri, walaupun pada mulanya sedikit kesulitan telah dihadapi iaitu mengenai dengan harga tambang. Tetapi alhamdulillah, dengan taufik dan hidayah Allah kepada beta, maka kesulitan tersebut telah dapat diatasi dengan tiada perlu menyusahkan rakyat atau para jemaah itu. Kesihatan adalah juga merupakan satu daripada perkhidmatan asas yang di perlukan oleh rakyat dan penduduk. Adapun dasar kerajaan mengenai hal ini ialah menuju ke arah matlamat kesihatan untuk semua, yakni 'health for all' menjelang abad ke-21. Beta berharap, untuk mencapai matlamat yang luhur ini, rancangan-rancangan perlulah dibuat di samping perkhidmatan-perkhidmatan yang jujur lagi cekap oleh semua peringkat pegawai dan kakitangan yang berkenaan. Di dalam hubungan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah mencapai satu peringkat kemajuan dalam mana kita juga turut sama memainkan peranan ke arah keamanan dan kestabilan serantau dan juga di dalam penyelesaian masalah-masalah dunia antarabangsa. Peranan aktif yang kita mainkan ini menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam mengambil berat akan pentingnya diplomasi di dalam mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Kerana apa yang ketara dewasa ini, diplomasi adalah merupakan sebagai benteng pertahanan utama yang dimainkan oleh negara-negara, tidak kira sama ada kuasa besar atau negara-negara kecil, di dalam menyelesaikan masalah-masalah serantau dan antarabangsa. Kita juga mesti memahami iaitu selain daripada kestabilan ekonomi dan kewangan negara, kebolehan kita untuk memainkan diplomasi yang berkesan dan baik, juga akan dapat menyumbangkan ke arah perkembangan, kemajuan dan kemantapan ekonomi dan sosial di negara ini. Tetapi dalam pada itu, dalam bidang amalan diplomasi ini, pihak kita akan sentiasa berhati-hati, supaya kita tidak akan sampai dikelirukan apatah lagi yang boleh mencederakan kita. Negara Brunei Darussalam akan sentiasa mengembangkan hubungan persahabatan melalui penubuhan hubungan-hubungan diplomatik dengan negara-negara sahabat. Beta sukacita menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam sejak mengambil semula tanggungjawab antarabangsanya sekarang mempunyai hubungan diplomatik dengan 56 buah negara sahabat dengan menubuhkan 16 perwakilan diplomatik menetap. Baru-baru ini Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan perwakilan menetap yang baru iaitu di Paris dan Oman. Insya-Allah sebelum penghujung tahun ini perwakilan menetap juga akan dibuka di Republik Persekutuan Jerman. Dalam bidang rohani, Negara Brunei Darussalam sudah lama terkenal sebagai sebuah negara lslam yang mantap dengan tradisi berilmu dan beramal dengan baik. Di antara ciri-ciri yang baik itu, ialah kehidupan taat beragama dan beraja. Beta amat bersyukur, kerana dengan corak kehidupan yang terpuji ini, Negara Brunei Darussalam telah dapat menikmati keamanan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Beta juga yakin, bahawa kehidupan yang kita amalkan ini, telah dikagumi oleh dunia luar, sama ada jauh mahupun dekat. Tegasnya, berlandaskan kehidupan beragama dan kehidupan beraja ini, kita telah berjaya melahirkan suasana yang harmoni dan stabil, jauh daripada kacau-bilau, sunyi daripada hasad dengki dan fitnah-memfitnah, seperti perbuatan suka mengadakan perkara yang tidak benar, dengan tujuan membersihkan diri, lebih-lebih lagi dengan cara memburuk-burukkan orang lain. Cara ini adalah salah dan mesti dicegah. Sebaliknya, kehidupan cara orang-orang Brunei yang kuat beragama dan taat beraja, mestilah kita teruskan, dan jangan siapa-siapa yang cuba mencemarinya. Kerana kita tidak boleh bertolak ansur walau sedikit pun, dengan orang-orang yang cuba mengeruhkan suasana yang sedia bisai dan tenteram ini, tidak kira sama ada percubaan itu setakat kata-kata, atau apatah lagi dengan perbuatan. Beta berharap, corak kebruneian yang tulen, akan lebih diperkuatkan lagi, iaitu dengan cara hendaklah kita terus memelihara dan memajukan syiar Islam yang suci, dengan melalui apa jua saluran yang sudah sedia ada. Di antara saluran-saluran tersebut, ialah seperti sekolah-sekolah agama dan institusi-institusi pengajian agama, yang beta percaya ianya amat diminati oleh sebahagian besar dari kalangan umat Islam di negara ini. Di antara langkah-langkah ke arah itu, ialah seperti menggalakkan pengambilan penuntut-penuntut atau sekolah Arab dengan lebih ramai lagi, mengkaji dari masa ke semasa kurikulam dan sukatan-sukatan pelajaran, sehingga ianya benar-benar bersesuaian dengan masa dan keperluan-keperluan jangka panjang. Termasuk di antara keperluan-keperluan itu, ialah untuk mendapatkan lulusan-lulusan agama yang lebih ramai dan berkaliber. Di samping sebelum itu, perlu pula dipastikan bahawa penuntut-penuntut tersebut akan beroleh kemudahan-kemudahan yang selayaknya, untuk mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Perkara ini, hendaklah diusahakan bukan hanya setakat kita menghantar dan melepaskan mereka memasuki mana-mana pusat pengajian, sedangkan keadaan misalnya, kurang memungkinkan untuk mereka beroleh kejayaan yang diharap-harapkan. Jika terdapat perkara yang seumpama ini, maka kajian dan perundingan mengenainya adalah mustahak. Juga satu saluran yang tidak kurang pentingnya, ialah Majlis Ugama Islam. Majlis ini akan terus berfungsi, kerana ia sangat penting untuk menasihatkan beta di dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan hal-ehwal agama. Demikianjuga saluran-saluran lain untuk menghidupkan syiar Islam itu, ialah melalui kegiatan-kegiatan dakwah dan rancangan-rancangan sambutan bagi hari-hari bersejarah Islam. Rancangan-rancangan bagi kedua-dua saluran ini, mustahaklah disusun dan diperbesarkan lagi menurut kesesuaiannya. Dalam bidang kewangan, semua kementerian dalam kerajaan perlulah terus mengamalkan langkah bejimat-cermat di dalam perbelanjaan, iaitu bagi menghadapi keperluan masa depan. Dalam pada itu juga, kita mestilah mensepadankannya dengan pendapatan negara serta mengikut peraturan-peraturan kewangan yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, langkah berjimat-cermat melalui budget yang realistik tidaklah bererti bahawa kerajaan memberhentikan ataupun menangguhkan perlaksanaan projek-projek pembangunan yang penting dan diperlukan oleh rakyat. Bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyat, kerajaan adalah juga sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara melalui perindustrian dan mengembangkan bidang-bidang pertanian, perhutanan dan perikanan. Menuju ke arah ini, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama sedang giat membuat promosi untuk mengenalkan Negara Brunei Darussalam kepada negara-negara industri yang maju sebagai sebuah tempat pelaburan yang kompetitif. Beta telah difahamkan bahawa beberapa buah negara industri yang maju telah memperlihatkan minat mereka dalam penyelidikan perindustrian di negara ini. Sementara ini, beberapa projek perusahaan akan bermula dalam sedikit masa lagi. Memandangkan persaingan di kalangan negara-negara di rantau ini begitu kompetitif untuk menarik pelabur-pelabur luar negeri, maka kita di Negara Brunei Darussalam hendaklah memperlihatkan kepada pelabur-pelabur asing dan gambaran ini keadaan Negara Brunei Darussalam yang sebenarnya bahawa ia juga mempunyai perkara-perkara yang menarik di berbagai-bagai aspek jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau ini. Ke arah ini, ianya memerlukan kerjasama serta sokongan dari semua pihak di dalam dan di luar kerajaan. Menyentuh mengenai dengan soal memberikan peluang untuk memajukan perusahaan-perusahaan anak tempatan di negara ini, adalah perlu bagi kerajaan untuk memberikan perhatian pada meningkatkan lagi bantuan-bantuan dan sokongan yang diberikan kepada usahawan-usahawan tempatan. Dengan cara demikian, ianya akan memberikan kepercayaan kepada orang ramai bahawa pihak swasta juga mempunyai masa depan yang cerah untuk turut sama-sama menjamin masa depan rakyat dan penduduk yang bekerja dengan sektor swasta, iaitu sebagai sumbangan mereka kepada kerajaan dan negara ini. Dengan adanya sumbangan yang seumpama itu daripada sektor swasta, maka sebahagian daripada rakyat dan penduduk negara ini akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan dengan tidak semata-mata bergantung kepada kerajaan. Sebagaimana kita semua tahu, bahawa tahun demi tahun, kerajaan memperkenalkan rancangan-rancangan dan dasar-dasar pentadbiran yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan. Bagi memastikan kejayaan rancangan-rancangan dasar dan pentadbiran yang dilaksanakan itu, adalah perlu bagi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan membuat susulan ke atas apa jua rancangan dan pembaharuan yang mereka lakukan. Sehubungan dengan ini, kementerian-kementerian hendaklah meneliti dan mengkaji struktur organisasi dan perancangan yang terdapat di dalam kementerian masing-masing. Ini adalah bagi memastikan struktur organisasi dan perancangan dasar tersebut adalah memenuhi kehendak dan keperluan negara. Ingin beta nyatakan di sini, adalah kurang berkesan dan kurang lengkap untuk hanya menilai prestasi individu dalam perkhidmatan kerajaan. Penilaian terhadap prestasi jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian tertentu di kementerian-kementerian adalah juga sangat diperlukan di dalam perkhidmatan negara. Kerana di samping ingin melihat pemberian perkhidmatan kepada orang ramai di negara ini supaya dilakukan dengan cekap dan berkesan serta penuh dengan sifat-sifat pemedulian dan bersopan santun oleh kakitangan kerajaan di dalam pentadbiran akan digunakan dengan optima, manakala matlamat asal peruntukan itu dapat dicapai dengan jayanya dan seterusnya mencegah amalan-amalan yang kurang berjimat-cermat. Dalam usaha kita untuk mengekalkan keamanan kestabilan di negara ini serta membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar efisien dan mengambil berat di atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan penduduk di dalamnya, sempena sukut baik ini marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya akan sentiasa mengurniakan suasana aman dan tenteram kepada negara yang kita cintai ini bagi membolehkan kita terus melaksanakan kegiatan-kegiatan dan usahausaha yang berkebajikan bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk, sambil kita jua mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dan bangsa serta kesucian agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Bagi mengakhiri ucapan ini, beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan kerajaan di atas perkhidmatan cemerlang mereka yang diberikan kepada negara. Kepada semua pegawai dan kakitangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan seluruh rakyat serta penduduk negara ini, beta ingin mencatatkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama mereka dalam mempertahankan keselamatan, memelihara keamanan dan ketenteraman negara. Beta seterusnya ingin menyatakan penghargaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa perayaan di peringkat kebangsaan dan daerah di atas penat-lelah mereka dalam menyusun dan melaksanakan rancangan-rancangan perayaan. Semoga Allah Subhanahu Wataala jua akan mengurniakan ganjaran-Nya yang setimpal kepada mereka. Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |




