Announcements

In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts.

The schedules are as follow;

  • - Temburong District on Saturday, July 17 at Taman Perayaan Pekan Bangar.
  • - Brunei Muara District on Tuesday, July 20 at the open area in front of the Royal Regalia Building, Bandar Seri Begawan.
  • - Belait District on Saturday, July 24 at Taman Persiaran, Jalan Sungai, Kuala Belait.
  • - Tutong District on Wednesday, July 28 at Dewan Kemasyarakatan Mukim Kg Serambangun.
The events will start by 8.30pm.
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn

Events Calendar

« < September 2010 > »
M T W T F S S
30 31 1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 1 2 3
« < October 2010 > »
M T W T F S S
27 28 29 30 1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31



Visitors Counter

6231
TodayToday49
YesterdayYesterday95
This monthThis month516
1989 - BSB
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI ISTIADAT MENGADAP BERSEMPENA ULANGTAHUN
HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-43
DI BALAI SINGGAHSANA, ISTANA NURUL IMAN,
BANDAR SERI BEGAWAN

PADA HARI SABTU, 15 JULAI, 1989

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, seru
sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam dan ke atas keluarga, kaum kerabat Baginda,
sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga
ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan
izin-Nya jua, membolehkan kita sekali lagi hadir beramai-ramai di istiadat
yang permai, di pagi yang mulia ini. Beta dengan tulus ikhlas ingin
mengucapkan terima kasih dan sukacita mencatatkan penghargaan kepada semua dif-dif yang hadir dan semua pihak yang berkenaan yang telah menghantar utusan-utusan ucap selamat sempena perayaan ini. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan balasan yang seimbang di atas ingatan baik dari semua pihak yang berkenaan itu.

Dalam tempoh setahun yang lalu, dengan izin Allah Subhanahu Wataala jua,
kita telah dapat menikmati suasana aman dan tenteram yang telah membolehkan
kita melaksanakan dan meneruskan lagi berbagai usaha dan rancangan bagi
kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Semoga suasana ini akan terus dapat dikekalkan pada membolehkan kita
melaksanakan dan mempergiatkan lagi usaha-usaha berkebajikan di masa akan
datang.

Perkembangan dan kemajuan yang telah kita nikmati itu adalah juga hasil dari
kerjasama rakyat dan penduduk negara ini yang telah mengamal dan mengekalkan suasana hidup bersatu padu, hormat-menghormati dan faham-memahami. Dalam ertikata yang lain, kita di negara ini selama ini dapat berbangga dengan wujudnya sebuah masyarakat atau bangsa yang telah dapat menanai ciri-ciri sebuah bangsa yang kukuh, maju dan dinamik.

Keadaan ini telah juga dapat kita capai kerana kita mempunyai sistem
masyarakat yang berteraskan ciri-ciri kebruneian dan bersendikan kepada
ajaran agama Islam yang telah kita warisi dan amalkan. Ciri-ciri kehidupan
inilah yang perlu kita pelihara dan teruskan bagi menjamin kekukuhan bangsa
kita, lebih-lebih lagi dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran-cabaran di
masa akan datang.

Kita haruslah berwaspada supaya ciri-ciri kehidupan sebuah bangsa yang kukuh
dan bersatu padu itu tidak akan dapat digugat oleh apa juga bentuk pengaruh,
baik yang datang dari dalam mahupun dari luar. Adalah menjadi kewajipan
setiap rakyat dan penduduk negara ini mengekalkan kehidupan kita sebagai
sebuah keluarga yang besar yang sentiasa mengambil berat terhadap apa jua
yang berlaku di sekeliling kita dan bukan mengamalkan sikap bernafsu-nafsi.

Tanggungjawab ini semakin bertambah berat lagi pada masa ini kerana Negara
Brunei Darussalam mempunyai lebih dari 50 peratus penduduknya di bawah umur 20 tahun. Menyedari akan hakikat ini, beta telah menekankan akan pentingnya peranan belia-belia pada masa ini yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang yang akan bertanggungjawab bagi meneruskan usaha-usaha di semua bidang terutama dalam menjamin supaya suasana keamanan dan ketenteraman akan tetap terpelihara serta kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan penduduknya akan berlanjutan dan terus dapat dinikmati di masa akan datang.

Untuk memastikan harapan ini menjadi suatu kenyataan, belia-belia pada masa
ini hendaklah mempunyai sikap yang positif iaitu sikap "dedicated" dan
"commited" kepada tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada selaku
penuntut mahupun pekerja, dan sentiasa menanamkan sikap untuk ingin maju dan memperbaiki diri sendiri menerusi peluang-peluang yang disediakan oleh
kerajaan.

Tanggungjawab pada membentuk dan mengekalkan sebuah bangsa yang kukuh dan bersatu padu ini adalah berat dan dari itu adalah wajar dipikul oleh segenap
pihak yang berkenaan dan semua institusi sosial dalam masyarakat kita.
Adalah menjadi tanggungjawab utama kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan didikan yang sempurna dan mengawasi kegiatan mereka supaya tidak terjerumus ke bidang-bidang yang tidak diingini. Guru-guru memainkan peranan yang penting bukan sahaja untuk mengajar tetapi juga untuk mendidik nilai-nilai yang murni dan mendisiplinkan penuntut-penuntut bagi melahirkan satu generasi yang penuh berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap bangsa, negara, raja dan agamanya.

Agensi-agensi kerajaan juga bertanggungjawab pada membimbing belia-belia
melalui kegiatankegiatan dan rancangan-rancangan yang bermakna dengan
memberikan kemudahan-kemudahan yang tertentu bagi mengisikan masa lapang
belia-belia pada menjamin masa mereka akan dapat dipenuhi dengan
kegiatan-kegiatan bermanfaat yang akan dapat membentuk belia yang penuh
bertanggungjawab.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk dan tenaga manusia yang kecil, kita bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi setiap individu di negara ini dalam bidang yang berguna dan kita tidak mampu untuk melihat sebarang pembaziran kepada tenaga manusia yang ada. Hanya dengan wujudnya dan terjaminnya pendidikan dan bimbingan serta ketahanan generasi muda pada masa ini, maka kita akan dapat memastikan suasana keamanan dan ketenteraman yang berkekalan dan meningkatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat dan penduduknya.

Beralih ke bidang hubungan antarabangsa, kita sentiasa mempunyai keyakinan
untuk terus mengorak langkah yang bersesuaian dengan keupayaan dan
kepentingan kita. Kejayaan Negara Brunei Darussalam dalam mengendalikan
Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dan Post- Ministerial Conferences
baru-baru ini, menunjukkan bahawa kita mampu memikul tanggungjawab selaku
anggota masyarakat antarabangsa khasnya selaku negara anggota ASEAN.
Berkaitan dengan keyakinan kita untuk memainkan peranan yang sewajarnya di
arena antarabangsa, tumpuan utama untuk Negara Brunei Darussalam adalah
tetap dengan ASEAN selaku "corner-stone" dasar luar kita. Kita akan terus
mengukuhkan lagi hubungan dua hala Negara Brunei Darussalam dengan
negara-negara ASEAN lainnya dan meningkatkan kegiatan kita di dalam forum
ASEAN.

Lawatan negara beta ke Thailand pada tahun lalu serta ke Sarawak, Malaysia
pada awal tahun ini bermaksud untuk menitikberatkan kepentingan kita
terhadap jiran-jiran kita. Sehubungan dengan ini, beta juga merasa gembira
dengan berlangsungnya mesyuarat dua hala antara Malaysia dengan Negara
Brunei Darussalam pada bulan Mei yang lalu yang menunjukkan tahap
kesepakatan dan keinginan berbaik-baik di antara kedua buah negara yang
terdekat. Pada mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara-negara lain beta
telah mengadakan lawatan ke Bahrain dan Maghribi pada tahun lalu.

Beta percaya bahawa perkembangan di bidang hubungan luar kita akan
meningkatkan lagi peranan Negara Brunei Darussalam selaku anggota masyarakat antarabangsa demi kepentingan negara kita.

Kedudukan ekonomi dunia khususnya kedudukan harga minyak pada masa ini,
telah mengurangkan hasil pendapatan negara. Walau bagaimanapun, menyedari
akan hakikat ini, kita telah dapat mengatur dengan rapi dan mengawal
perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran tetapi bagi mendapatkan manfaat yang maksima kepada rakyat di negara ini.

Dalarn hubungan ini kerajaan sedang berusaha untuk mengemaskinikan sistem
belanjawan sekarang kepada satu sistem belanjawan yang realistik yang
mengutamakan pengiraan pendapatan kerajaan terlebih dahulu sebelum sesebuah kementerian atau jabatan dalam kerajaan mengemukakan rang belanjawan masing-masing. Oleh itu adalah penting yang proses menyediakan rang belanjawan itu diselaraskan dari awal-awal lagi dengan jumlah anggaran
peruntukan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan mengikut keadaan anggaran pendapatan kerajaan.

Sistem belanjawan yang realistik ini bukan saja bertujuan untuk mengelakkan
cadangancadangan belanjawan yang "ambitious" serta berlebih-lebihan malahan
juga membolehkan sesebuah kementerian dan jabatan itu mengatur rancangan
perbelanjaan masing-masing menurut prioritinya selaras dengan had jumlah
anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan. Melalui proses belanjawan yang
realistik ini, sesebuah kementerian dan jabatan mestilah berhatihati dan
menjimatkan perbelanjaan masing-masing, terutamanya dalarn mengawal kos-kos projek supaya sesuatu anggaran kos itu akan sentiasa mengikut prioriti
belanjawan masingmasing yakni bukan hanya dirancang tanpa menimbangkan
akibat-akibat buruk ke atas kos dan belanjawan sesebuah kementerian atau
jabatan itu. Kawalan kos itu seharusnya akan dapat pula meningkatkan kualiti
projek-projek berkenaan.

Dalam melaksanakan projek-projek yang dirancangkan, kita sudah tentu akan
terus mengutamakan pemikiran supaya rakyat tempatan akan dapat secara
peraturan-peraturan tertentu memperolehi peluang membuat kerja-kerja dan
perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dengan projek-projek itu. Dengan
cara itu, negara ini akan dapat menambah dan meningkatkan "kumpulan"
pendapatan serta kepakaran, pengalaman dan pekerjaan negara (national
capital stock).

Berkaitan dengan ini, pemilihan dan pemberian kerja-kerja kontrak
perkhidmatan mestilah juga dibuat secara berhati-hati supaya jika difikirkan
perlu menggunakan kontraktor-kontraktor dan firma-firma dari luar negeri,
mereka itu mestilah yang benar-benar mempunyai track-record yang baik serta
mempunyai pejabat di negara ini. Adalah juga mustahak untuk mengambil kira
yang firma-firma itu memberi peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak
tempatan, iaitu sebagai sumbangan mereka kepada pembangunan negara ini serta bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang sosio-ekonomi rakyat dan negara ini.

Sebagai langkah ke arah mempelbagaikan ekonomi negara khasnya ke arah
memperkembangkan pertumbuhan industri di negara ini kita telah menubuhkan
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama pada awal tahun ini.

Dalam hubungan ini pihak kerajaan dan rakyat pada keseluruhannya hendaklah
mempunyai pandangan dan cita-cita yang sama, bersatu dalam usaha untuk
memberikan "commitment" sepenuhnya dan menyatukan usaha-usaha yang berkaitan dalam memelihara kedudukan negara ini dari segi keselamatan, kepercayaan dan persaingan yang hendak diberikan kepada pelaburpelabur secara berterusan.

Beta percaya Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama pada masa ini sedang giat meneliti dasar-dasar yang berkaitan dengan usaha mengembangkan bidang perindustrian serta menyesuaikan dengan matlamat kerajaan. Kita telah dapat mengenalpasti empat kategori kegiatan perindustrian iaitu perindustrian yang mirip kepada keselamatan kebangsaan; perindustrian yang bergantung kepada sumber-sumber utama tempatan; perindustrian untuk pasaran tempatan dan perindustrian untuk eksport.

Sekali lagi beta ingin menegaskan bahawa dalam usaha untuk mencapai matlamat perindustrian di negara ini, ianya menghendaki koordinasi dan kerjasama dari semua kementerian, khususnya yang mengaitkan dengan dasar-dasar kerajaan terutama yang dapat membantu mempercepatkan proses memulakan sesuatu perusahaan dan seterusnya memajukannya.

Mengenai dengan projek-projek infrastruktur, kerajaan beta telah dapat
melaksanakan sebahagian besar dari projek-projek yang telah dikenalpasti di
dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-5, khasnya yang melibatkan
kemudahan-kemudahan awam dan termasuklah juga Rancangan Kemajuan Perumahan. Walau bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa juga meneliti rancangan-rancangan yang dicadangkan itu dari semasa ke semasa dan hanya akan melaksanakan sesuatu rancangan itu menurut keutamaannya.

Di bidang pelajaran dan pendidikan, kita merasa gembira bahawa Universiti
Brunei Darussalam pada tahun ini telah pun mengeluarkan graduan-graduan
pertamanya dan begitupun juga dengan Maktab Jururawat. Adalah diharapkan
bahawa graduan-graduan lepasan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan
akan dapat memenuhi sebahagian keperluan tenaga manusia bagi Negara Brunei Darussalam baik di sektor awam mahupun di sektor swasta.

Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah-langkah positif dalam
mempergiatkan lagi budaya membaca di peringkat sekolah rendah. Adalah
diharapkan supaya sikap suka membaca akan dapat membantu pencapaian
perkembangan intelek yang positif di kalangan pelajar-pelajar di peringkat
rendah.

Dalam usaha untuk terus menjamin sebilangan tenaga manusia yang diperlukan
bagi negara ini di bidang-bidang profesional, maka Kementerian Pendidikan
telah meneruskan penghantaran penuntut-penuntut di bidang perubatan,
pergigian dan yang berkaitan dengan perubatan ke luar negeri. Seterusnya,
bagi memenuhi keperluan di bidang vokasional pula, kerajaan telah pun
merancang pembinaan dua buah lagi sekolah vokasional yang diharapkan akan
dapat melatih pelajar-pelajar sekolah menengah yang lebih berminat di bidang
ini bagi memberikan mereka kemahiran-kemahiran yang dapat digunakan di
bidang pekerjaan.

Di bidang keagamaan pula, fahaman keagamaan yang sepakat dan sealiran yang
kita amalkan selama ini menurut aliran Ahli Sunnah Wal-Jemaah, khasnya
mazhab Imam Syafi'e, telah pun terbukti berupaya menghindarkan kita dari
sebarang kekecuhan atau perselisihan dalam perkaraperkara keagamaan. Oleh
yang demikian bagi maksud meneruskan persefahaman di kalangan sesama kita,
khasnya di bidang agama, maka kesepakatan dan penyatuan mazhab agama itu
mustahaklah jangan dibiarkan terjejas oleh sebarang percubaan bagi
menonjolkan lain-lain fahaman atau aliran. Kerajaan beta akan terus
mengambil berat dan sentiasa membuat langkahlangkah pada menjamin fahaman beragama yang sepakat dan bersatu aliran itu.

Sebagai salah satu langkah ke arah peningkatan ilmu dan pencapaian lslam di
negara ini. maka baharu-baharu ini Institut Pengajian Islam telah ditubuhkan
yang merupakan pusat pengajian tinggi agama bagi faedah mengadakan kemudahan pelajaran di bidang agama yang dikendalikan dalam negeri ini sendiri. Adalah diharapkan institusi ini akan berupaya menjadi salah satu benteng kehidupan beragama yang sepakat dan sealiran untuk selama-lamanya.

Di bidang kebajikan pula, rancangan perkhidmatan pemulihan, bantuan dan
bimbingan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik seperti
orang-orang cacat, anak-anak yatim dan orang-orang tua adalah diteruskan
menurut keupayaan. Dalam hubungan ini beta merasa gembira akan inisiatif dan
kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh persatuan-persatuan kebajikan dan
badan-badan swasta dalam sama-sama mendukung rancangan-rancangan pada
membantu masyarakat yang kurang bernasib baik ini.

Pada menjamin bahawa rakyat dan penduduk di negara ini hidup dalam keadaan
sihat, maka usaha-usaha untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan telah pun
diteruskan melalui kempen penjagaan kesihatan asasi untuk mencapai objektif
'Kesihatan Untuk Semua Menjelang Tahun 2,000'. Salah satu aktiviti dalam
rancangan ini ialah mengadakan Kempen Pencegahan Penyakit Jantung Koronari
yang telah mendapat sambutan yang baik dari orang ramai.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan telah pun menyiapkan persediaan awal
bagi penubuhan sebuah Makmal Kesihatan Awam yang akan dapat memberikan
perkhidmatan penyelidikan makmal saintifik, bukan sahaja bagi Jabatan
Kesihatan tetapi juga bagi kementerian atau pertubuhan-pertubuhan yang
memerlukan perkhidmatan berkenaan.

Di bidang perhubungan pula, kerajaan telah menambah beberapa perkhidmatan
kepada perjanjian perkhidmatan udara dengan beberapa buah negara dan usaha
untuk merundingkan perjanjian perkhidmatan udara dengan negara-negara lain
akan diteruskan dengan giatnya bagi membolehkan Syarikat Penerbangan Diraja
Brunei memperkembangkan lagi perkhidmatannya. Sementara itu usaha-usaha
untuk membaiki perkhidmatan-perkhidmatan lain sedang dilaksanakan.

Bagi mempastikan keselamatan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa terjamin
dari sebarang ancaman maka rancangan-rancangan untuk memodenkan Angkatan
Bersenjata Diraja Brunei telah dilakukan dan usaha untuk meningkatkan
kecekapan dan menambahkan pengalaman anggota-anggotanya sedang giat
dilaksanakan.

Dalam usaha untuk mewujudkan imej kerajaan yang benar-benar memeduli
rakyatnya, maka sikap pemedulian itu adalah sebenarnya digerakkan sendiri
oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Oleh yang demikian beta sekali
bagi ingin mengulangi supaya pegawaipegawai dan kakitangan kerajaan akan
sentiasa memberikan pemedulian kepada masalah dan sungutan-sungutan orang
ramai dan bersikap senang dihubungi yakni "approachabIe" . Dengan cara ini
kita juga akan dapat memahami secara dekat lagi kesulitan ataupun
masalah-masalah yang mereka hadapi.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, beta ingin menekankan
supaya mereka akan dapat terus memberikan kerjasama kepada pihak yang
berkenaan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman negara, termasuklah pada mempastikan supaya semua peraturan-peraturan dan undang-undang di negara ini dihormati dan dipatuhi.

Bagi mengakhiri ucapan ini, beta dengan ikhlas sukacita merakamkan ucapan
terima kasih kepada seluruh kakitangan kerajaan di atas perkhidmatan
cemerlang yang diberikan dan berharap semoga mereka akan dapat meningkatkan lagi tahap kecemerlangan itu di masa-masa yang akan datang.

Kepada semua pegawai dan kakitangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,
Pasukan Polis Diraja Brunei dan seluruh rakyat serta penduduk negara ini,
beta ingin mencatatkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas
kerjasama mereka dalam mempertahankan keselamatan, memelihara keamanan dan ketenteraman negara. Beta seterusnya ingin menyatakan penghargaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa perayaan di peringkat kebangsaan dan daerah, di atas penatlelah mereka dalam menyusun dan melaksanakan rancangan-rancangan perayaan. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal kepada mereka.

Sekian, Wabillahit Taufik Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.