Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6538
![]() | Today | 41 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 823 |
| 1988 - BSB |
|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI ISTIADAT MENGADAP DAN MENGURNIAKAN BINTANG-BINTANG KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-42 TAHUN DI BALAI SINGGAHSANA, ISTANA NURUL IMAN PADA 15 JULAI, 1988 Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat, sahabat-sahabat dan pengikutpengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. Alhamdulillah beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua. membolehkan kita sekali lagi hadir beramai-ramai di istiadat yang permai di pagi hari Jumaat yang berkat dan mulia ini. Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan terima kasih dan sukacita mencatatkan penghargaan kepada semua dif-dif yang hadir dan semua pihak yang berkenaan yang telah menghantar utusan-utusan ucap selamat sempena perayaan ini. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan balasan yang seimbang di atas ingatan baik dari semua pihak yang berkenaan itu. Dalam tempoh setahun yang lalu dengan izin Allah Subhanahu Wataala jua kita telah dapat menikmati suasana aman dan tenteram yang telah membolehkan kita melaksanakan dan meneruskan lagi berbagai usaha dan rancangan bagi kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Semoga suasana ini akan terus dikekalkan pada membolehkan usaha-usaha berkebajikan akan terus dapat kita pergiatkan dan laksanakan. Tahap kemajuan yang telah kita capai di berbagai bidang itu adalah juga bergantung rapat kepada keberkesanan sistem pentadbiran dan pengurusan termasuklah juga kualiti kakitangannya. Menyedari akan hakikat ini maka kerajaan beta dalam meneruskan usaha untuk mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap, berkesan, bersih lagi amanah telah mengenalkan sistem penilaian prestasi kakitangan dalam perkhidmatan awam iaitu sebagai satu kaedah untuk menilai kerja, keupayaan serta kebolehan seseorang kakitangan mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing, yang mana sistem penilaian ini telah pun dilancarkan perlaksanaannya secara berperingkat-peringkat. Beta berharap semua peringkat kakitangan yang akan terlibat dalam perlaksanaan sistem penilaian prestasi ini akan dapat melaksanakannya dengan jujur dan amanah, serta teratur menurut lunas-lunas dan garis pandu yang disediakan. Penilaian-penilaian itu hendaknyalah jangan dipengaruhi oleh perasaan negatif seperti pilih kasih, atau membalas dendam kepada kakitangan yang dinilai. Sementara itu hendaklah juga difahami oleh setiap kakitangan kerajaan bahawa penilaian prestasi tidak bermakna kenaikan pangkat yang cepat akan diberikan kepada mereka, tetapi bertujuan bagi mempastikan kerjakerja yang dibuat itu adalah menepati 'Job Specification' jawatan yang disandang. Dalam pada itu sebarang sokongan kenaikan pangkat kepada pegawai-pegawai yang sudah sampai masanya untuk dinaikkan pangkat akan dipertimbangkan mengikut penilaian prestasi mereka di samping faktor-faktor yang lain. Insya-Allah, berbagai kaedah pentadbiran dan pengurusan yang lain juga akan diperkenalkan di masa akan datang mengikut kehendak semasa. Beta ingin mengingatkan di sini iaitu bagi mempastikan jentera pentadbiran kerajaan supaya sentiasa berjalan dengan lancar dan teratur adalah penting bagi semua kementerian dan juga jabatan-jabatan di dalamnya akan sentiasa bekerja erat dan rapat di antara satu dengan yang lain, dan saling faham-memahami akan peranan dan tugas masing-masing. Di dalam hal ini, tidak ada satu kementerian atau jabatan yang seharusnya beranggapan bahawa ianya adalah lebih penting dan utama daripada kementerian atau jabatan-jabatan yang lain, akan tetapi mereka adalah sama penting antara satu dengan yang lain, dan sama-sama memainkan peranan masing-masing mengikut tanggungjawab dan fungsi yang diamanahkan. Begitu juga halnya dengan pegawai-pegawai kerajaan tidak ada yang dianggap yang lebih penting dari yang lain, kerana semuanya adalah diharapkan untuk menghulurkan khidmat kepada negara dan orang ramai dengan penuh amanah dan kejujuran mengikut peranan dan tanggungjawab yang diberikan. Di peringkat perhubungan antarabangsa, dalam masa yang begitu singkat Negara Brunei Darussalam telah setapak demi setapak membuat kemajuan dan memainkan peranannya mengikut keupayaan dan kepentingan negara. Beta telah berkesempatan menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Vancouver, Kanada, di mana ketua-ketua kerajaan ini telah memberi peluang kepada Negara Brunei Darussalam untuk mengeratkan lagi hubungan kita dengan negara-negara dekat dan jauh yang ingin berbaik-baik dengan negara kita. Sementara itu, Sidang Ketua-ketua Kerajaan ASEAN yang ketiga di Manila telah dapat membuktikan komitmen setiakawan yang tinggi dan mencerminkan perpaduan, kekukuhan serta keazaman setiap anggota ASEAN untuk melihat rantau ini sebagai kawasan yang aman, makmur dan stabil. Mengenai penyertaan kita di dalam ASEAN, Negara Brunei Darussalam akan terus aktif memainkan peranannya sesuai dengan keupayaan dan kemampuan kita dengan memberikan perhatian yang mendalam terhadap kepentingan-kepentingan ASEAN khususnya dengan adanya Negara Brunei Darussalam sekarang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap ASEAN. Menyentuh isu-isu antarabangsa yang lain, Negara Brunei Darussalam menerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam telah dengan lantang mengetengahkan sokongan ke arah usaha-usaha penyelesaian masalah Kampuchea dan Afghanistan serta menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin. Sejajar dengan hasrat kita untuk mengeratkan hubungan dengan negara-negara sahabat, Negara Brunei Darussalam telah dapat memperluaskan lagi penubuhan pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam di negara-negara sahabat seperti di Arab Saudi, Australia dan di Switzerland. Penubuhan perwakilan-perwakilan baru di negara sahabat yang lain akan sentiasa dipertimbangkan oleh kerajaan tertakluk juga kepada keupayaan, kemampuan serta kepentingan Negara Brunei Darussalam. Kejatuhan harga minyak di pasaran dunia sebagaimana yang telah beta nyatakan dulu secara langsung telah mengurangkan hasil pendapatan negara. Sungguhpun demikian dengan izin Allah jua dalam jangka masa lima tahun kebelakangan ini pendapatan dan keuntungan dari pelaburan negara yang diuruskan oleh Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah berlipat ganda. Keuntungan daripada pelaburan tersebut telah dapat menampung peruntukan-peruntukan kewangan bagi projek-projek pembangunan negara. Walau bagaimanapun pelaburan negara ini adalah dikhaskan sebagai simpanan untuk generasi yang akan datang (Future Generation Funds), bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara yang berterusan. Menyedari akan hakikat ini kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu telah menekankan pentingnya mengatur dan mengawal perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan dengan rapi. bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran tetapi juga bagi menjamin perlaksanaan sesuatu projek itu akan mendatangkan manfaat kepada rakyat negara ini. Berkaitan dengan ini, beta ingin mengingatkan semua ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam mentadbirkan perbelanjaanperbelanjaan kerajaan supaya akan terus mengamalkan sikap berjimat-cermat dan lebih berhatihati serta sentiasa menunjukkan sikap berdisiplin dalam perbelanjaan semasa merancang dan melaksanakan sesuatu projek kemajuan. Mengenai dengan kemajuan-kemajuan ekonomi dan sosial pula adalah mustahak bagi pegawai-pegawai mengelakkan kerja atau rancangan yang bertindih-tindih (atau berduplikasi) yang tidak sahaja akan melibatkan pembaziran kewangan tetapi juga pembaziran tenaga manusia dan sumber-sumber lainnya, malah akan merugikan kewangan negara serta mengurangkan kewangan negara daripada dilabur serta produktif untuk kepentingan masa depan generasi kita. Dalam usaha untuk mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi negara, khususnya ke arah pertumbuhan industri kerajaan telah pun berjaya mengenalpasti 25 buah kawasan perindustrian di seluruh negara dan meluluskan beberapa projek perindustrian. Pencapaian perindustrian di negara ini adalah penting bagi pihak kerajaan dan swasta menumpukan perhatian untuk mengenalpasti bidang industri yang boleh diungkayahkan di negara ini. Perlaksanaan perindustrian di Negara Brunei Darussalam mestilah dibuat dengan segera bagi mempastikan kita tidak jauh ketinggalan oleh negara-negara lain. Alasan bahawa pasaran Negara Brunei Darussalam terlalu kecil, dan tenaga kerja yang sedikit seharusnya tidak lagi dijadikan alasan dalam kelambatan proses perindustrian di negara ini. Begitu juga langkah-langkah positif sedang diusahakan bagi menggunakan secara optima. sumber-sumber dan potensi perikanan dan perhutanan. Semua bidang ini diharap akan dapat berkembang bukan sahaja pada membantu perkembangan ekonomi negara tetapi juga memberikan peluang-peluang mata pencarian kepada rakyat di negara ini. Mengenai dengan projek-projek infrastruktur, beta gembira pada mengetahui bahawa hampir semua projek yang menghendaki tapak telah dikenalpasti, manakala rancangan yang melibatkan kemudahan-kemudahan awam seperti meninggikan taraf jalan raya dan bekalan air yang mencukupi sedang giat dilakasanakan. Di bidang pelajaran, kerajaan sedang berusaha untuk memperbaiki lagi perkhidmatan pelajaran di negara ini dengan memperkesankan lagi asas-asas pelajaran khususnya di peringkat sekolah rendah. Sementara di peringkat menengah, perhatian yang berat diberikan bagi mempelbagaikan jenis-jenis mata pelajaran yang menumpukan ke arah vokasional dan teknikal semata-mata untuk memberikan peluang yang cukup sejajar dengan minat dan kebolehan penuntut yang berbezabeza. Di samping usahausaha ke arah memperkukuhkan lagi penguasaan mata-mata pelajaran Bahasa Inggeris, Ilmu Hisab dan Sains sedang giat dilaksanakan. Penekanan yang dibuat terhadap Bahasa Inggeris itu adalah semata-mata memberikan penuntut-penuntut peluang yang seluas-luasnya untuk mengikuti berbagai bidang pengajian termasuk sains dan teknologi yang kebanyakannya disalurkan melalui Bahasa Inggeris. Adalah juga diharapkan supaya galakan akan terus diberikan kepada penuntut-penuntut di negara ini untuk mempelajari bahasa-bahasa antarabangsa yang lain. Dalam pada itu, beta ingin mengingatkan supaya usaha ke arah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tidak akan diabaikan. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat dan penduduk di negara ini mengamalkan Bahasa Melayu terutama dalam urusan-urusan rasmi menurut peraturan yang ditetapkan termasuklah juga meningkatkan penggunaan tulisan Jawi. Di bidang perhubungan pula, kerajaan sedang berusaha untuk mempertingkatkan lagi komunikasi di peringkat negara dan antarabangsa. Kita telah pun mendapat kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa di bidang pengangkutan yang membolehkan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei memperluaskan lagi perkhidmatannya, manakala hubungan talian antarabangsa melalui kabel dasar laut ke Republik Singapura dan Republik Filipina, sebagai alternatif pada sistem satelit sedang diusahakan. Sementara itu, bagi keperluan dalam negeri, pemasangan sistem ibu sawat yang baru sedang dilaksanakan yang diharap apabila projek ini sempuma nanti, insyaAllah, akan dapat memenuhi keperluan telefon untuk orang ramai. Di bidang agama kerajaan akan terus mengungkayahkan dari masa ke semasa usaha-usaha bagi maksud menjunjung kesucian agama Islam dan mengimbangi perkembangan dan kemajuan di bidang kebendaan. Selain dari berusaha untuk memperkembangkan pengajaran agama lslam, kerajaan juga sedang mengimbangkan pemikiran ke arah memanfaatkan harta benda yang terkumpul dalam Baitulmal untuk faedah yang berkebajikan sebagaimana yang dikehendaki oleh agama Islam. Beta mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan bahawa amalan beragama di negara ini adalah mengikut lunas-lunas kesederhanaan. Oleh yang demikian rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menerima ajaran-ajaran agama Islam yang dibawa masuk ke negara ini oleh pendatang-pendatang luar iaitu jangan sampai ianya terkeluar daripada kesederhanaan yang diamalkan dan membawa mereka ke arah jalan extrimism yang mana akan memporak-perandakan kestabilan politik dan keharmonian sosial yang terdapat di negara ini. Pertahanan negara adalah juga merupakan satu aspek yang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan, bagi mempastikan keselamatan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa terjamin daripada sebarang ancaman musuh negara, satu rancangan untuk memodenkan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun dirancangkan. Di samping itu, bagi mempastikan bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei mempunyai kecekapan dan pengalaman-pengalaman yang baru dalam taktik-taktik ketenteraan, latihan-latihan akan diadakan dengan pasukan-pasukan tentara negara-negara sahabat Sebagai benteng untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta agama adalah menjadi hasrat beta dan negara untuk mempunyai sebuah angkatan bersenjata yang benar-benar cekap dan berwibawa. Pegawai-pegawai atasan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei hendaklah sentiasa menunjukkan dedikasi dan tanggungjawab terhadap tugas dan kewajipan yang diamanahkan kepada mereka dan hendaklah memberikan contoh teladan yang baik kepada pegawai-pegawai bawahan mereka dan juga kepada seluruh anggota angkatan bersenjata baik dari segi disiplin mahupun juga dari segi pembawaan dan tingkah-laku mereka. Oleh kerana jika pegawai-pegawai atasan kurang berdisiplin, dan jika mereka mengabaikan tugas dan kewajipan mereka, maka keadaan sedemikian itu akan menjejaskan disiplin di peringkat bawahan dan akhirnya akan melemahkan kekuatan angkatan bersenjata kita. Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun diberikan berjenis-jenis alat kelengkapan yang moden, dan yang begitu mahal harganya. Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan pegawai-pegawai atasan supaya mempastikan bahawa alat-alat kelengkapan itu sentiasa dipelihara dan dalam keadaan yang baik dan dapat digunakan dengan sepenuhnya pada setiap masa. Mengenai dengan peningkatan disiplin ini, beta juga ingin mengingatkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei untuk sentiasa memberikan perhatian yang sama, kerana dengan terdapatnya mutu disiplin yang tinggi dalam Pasukan Polis Diraja Brunei akan menjadikannya sebagai sebuah pasukan mengawal ketenteraman awam yang berkesan dan dihormati oleh orang ramai. Rancangan-rancangan kemajuan yang beta nyatakan tadi telah dengan izin Allah dapat kita capai dengan berkat kerjasama yang erat dari seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dengan kerajaan yang wujud dalam suasana persefahaman, perpaduan dan hormat-menghormati. Beta berharap seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan terus mengekalkan suasana dan hubungan yang erat dan seterusnya akan tetap mematuhi dan menghormati setiap peraturan dan undang-undang negara. Dalam usaha memupuk kerjasama ini maka orang ramai termasuklah juga pesatuan belia dan badan-badan sukarela hendaklah pula mengambil inisiatif pada membimbing masyarakat setempat mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang negara serta membendung kegiatan-kegiatan antisosial, jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak diingini yang menyalahi peraturan. Kerajaan adalah sentiasa memberikan perhatian yang berat terhadap ketenteraman rakyat dan penduduk di negara ini dalam menjaga kepentingan dan keselamatan awam, undang-undang negara tidak akan bertolak ansur dalam perlaksanaannya terutama sekali kepada penjenayahpenjenayah. Memandangkan meningkatnya kes-kes jenayah yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tempatan dan asing, adalah sudah sampai waktunya bagi hukuman sebat dan rotan secara mandatori dikenakan pada penjenayah-penjenayah di negara ini. Ke arah ini kerajaan melalui Kementerian Undang-Undang telah pun mengambil langkah-langkah awal bagi perlaksanaannya. Di samping itu, bagi mempastikan Negara Brunei Darussalam bebas daripada jenayah, pihak polis dan orang ramai mestilah sentiasa bekerjasama membenteras perbuatan jenayah di negara ini dan usaha-usaha ke arah ini mestilah dipertingkatkan. Kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan pula, beta ingin mengulangi supaya akan sentiasa memberikan pemedulian kepada masalah atau sungutan-sungutan orang ramai dan mengamalkan sikap bersopan santun dan memberikan layanan yang baik kepada aduan-aduan atau masalah-masalah itu. Adalah juga mustahak bagi ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk memberikan maklumat yang difikirkan berfaedah untuk diketahui oleh orang ramai mengenai sebarang usahausaha kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini bagi menghindarkan mereka dari terdedah dari diayah-diayah palsu yang datang dari orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Bagi mengakhiri ucapan ini ,beta dengan ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan kerajaan di atas perkhidmatan cemerlang yang diberikan dan berharap semoga akan dapat meningkatkan lagi kecemerlangan mereka di masa-masa yang akan datang. Kepada semua pegawai dan kakitangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan seluruh rakyat serta penduduk negara ini beta juga ingin mencatatkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama mereka dalam mempertahankan keselamatan, memelihara keamanan dan ketenteraman negara. Beta seterusnya ingin menyatakan penghargaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa perayaan di peringkat kebangsaan dan daerah di atas penatlelah mereka dalam menyusun dan melaksanakan rancangan-rancangan perayaan. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal pada mereka. |




