Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
6541
![]() | Today | 44 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 826 |
| 1988 - Tutong |
|
TITAH KEBAWAH DULI Y ANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI ISTIADAT MENGADAP SEMPENA MENYAMBUT ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-42 TAHUN BAGI DAERAH TUTONG PADA 20 JULAI, 1988 Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Segala puji-puji bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas izin dan rahmat-Nya jua, kita dapat hadir beramai-ramai sekali lagi di istiadat yang indah permai pada pagi ini. Dengan perasaan tulus ikhlas, beta sukacita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berkenaan di daerah ini yang telah menyumbangkan buah fikiran dan tenaga bagi menyusun rancangan-rancangan sempena perayaan hari keputeraan beta yang ke-42 bagi daerah ini. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala akan memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka itu. Di majlis yang berbahagia ini, beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakyat dan penduduk di daerah ini, di atas kerjasama yang mereka berikan kepada kerajaan, khususnya dalam usaha untuk memelihara keamanan dan ketenteraman di daerah ini. Dengan wujudnya suasana keamanan dan ketenteraman ini, telah membolehkan pula, dengan izin Allah, kerajaan beta melaksanakan berbagai rancangan kemajuan bagi faedah rakyat dan penduduk di daerah ini, yang mana termasuklah Rancangan Perumahan Negara di Bukit Beruang yang sedang giat dilaksanakan. Dalam hubungan ini, beta ingin menegaskan bahawa di dalam melaksanakan sesuatu rancangan kemajuan itu, ianya adalah dinilai dan dilaksanakan menurut keutamaannya dengan tidak membezakan antara satu kawasan atau daerah dengan kawasan atau daerah yang lain. Kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan di daerah ini, beta ingin mengulangi saranan beta baru-baru ini, iaitu supaya semua pegawai dan kakitangan kerajaan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing dan sentiasa memelihara hubungan baik dengan orang ramai, khususnya bagi jabatan-jabatan yang selalu dihubungi oleh orang ramai. Dalam pada itu, beta sekali lagi menegaskan akan perlunya bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan untuk mengekalkan disiplin serta etika kerja yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Kerana disiplin bukan sahaja diperlukan di kalangan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei, tetapi juga bagi seluruh pegawai dan kakitangan kerajaan dalam setiap jabatan termasuk disiplin pada mematuhi peraturan-peraturan bekerja dan peraturan-peraturan kerajaan pada amnya. Bagi mengakhiri ucapan beta ini, marilah kita sama-sama berazam untuk terus memelihara suasana keamanan dan ketenteraman yang sedang kita nikmati ini bagi membolehkan kita melaksanakan usaha-usaha berkebajikan bagi rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini. |




