Announcements
In conjunction with the 64th birthday anniversary of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Information Department will be organising Pentarama at all districts. The schedules are as follow;
|
Welcome to the Official Website of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's 64th Birthday Anniversary - www.royalbirthday.org.bn |
Related Links
Visitors Counter
![]() | Today | 47 |
![]() | Yesterday | 95 |
![]() | This month | 514 |
| 1991 Kuala Belait |
|
TITAH KEBAWAH DULI Y ANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR , ALI SAIFUDDIEN SA' ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA MENYAMBUT ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-45 DI DAERAH BELAIT
PADA 6 MUHARAM, 1412 BERSAMAAN 18 JULAI, 1991.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi jujur serta amanah hingga ke akhir zaman.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala. kerana dengan limpah rahmat-Nya juga. dapatlah kita sekali lagi hadir beramai-ramai pada istiadat yang permai ini.
Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah berpenat lelah dalam sama-sama mengusahakan berbagai aturcara Perayaan Ulangtahun Hari Keputeraan beta yang ke-45 di daerah ini.
Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas usaha dan sumbangan bakti mereka yang berkenaan itu.
Dalam lawatan-lawatan beta ke daerah-daerah termasuk ke Daerah Belait ini, beta telah menekankan peri pentingnya amalan hidup yang berasaskan permuafakatan dan jalinan muhibah antara satu dengan lain bagi mengekalkan perpaduan rakyat serta keharmonian seluruh penduduk di negara ini.
Dalam hubungan ini kita dapat memerhatikan bahawa terdapat negara-negara yang mengalami keadaan huru-hara dan kacau-bilau disebabkan oleh rakyat dan penduduknya yang berpecah-belah dan tidak bersatu padu. Perkara ini berlaku kerana mereka hanya memikirkan kepentingan sendiri semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan nasional.
Oleh itu beta sekali lagi ingin mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini pada umumnya dan di daerah ini pada khususnya supaya akan sentiasa meningkatkan perpaduan, hubungan muhibah serta sikap saling hormat-menghormati dengan berlandaskan ajaran-ajaran ugama Islam. Kita sama-sama berbangga kerana Negara Brunei Darussalam juga terkenal sebagai sebuah negara yang menitikberatkan ajaran-ajaran Islam di dalam pentadbiran kerajaan dan dalam kehidupan seharian rakyat dan penduduknya.
Untuk mempertingkatkan kesedaran berugama dan menghindarkan perkara-perkara yang tidak diingini serta kegiatan-kegiatan sosial yang tidak sihat, maka pihak-pihak yang berwajib hendaklah sentiasa memata-matai kegiatan yang tidak diingini dan memastikan bahawa undang-undang serta peraturan-peraturan negara adalah berjalan dan dipatuhi.
Perpaduan dan keamanan yang kita nikmati selama ini janganlah sampai tergugat disebabkan oleh perbuatan daripada anasir-anasir anti-sosial, seperti pendatang-pendatang haram yang telah mendatangkan masalah kepada negara.
Pendatang-pendatang haram itu sebahagiannya terlibat dengan kegiatan-kegiatan anti-moral yang dikendalikan oleh sindiket-sindiket tertentu.
Maka dalam hal ini beta adalah menyanjung tinggi sikap orang ramai yang memberikan maklumat mengenai kegiatan-kegiatan jahat itu. Dan beta percaya pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan akan sentiasa bertindak tegas ke atas mereka yang terlibat, dengan tidak ragu-ragu atau teragak-agak.
Untuk memastikan bahawa undang-undang dan peraturan negara sentiasa berkesan, maka ianya bukan sahaja memerlukan langkah dan melibatkan pengawalan pihak-pihak yang berwajib, malahan juga berkaitan dengan pendidikan dan asuhan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Ini adalah penting, khususnya dalam kita memberi perhatian ke atas masalah-masalah sosial yang melibatkan anggota masyarakat yang terdiri dari peringkat belia. Ugama kita adalah menekankan bahawa kanak-kanak kita itu ialah umpama kain putih dan ibu bapa merekalah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka.
Beta berharap, sama-samalah kita mengambil perhatian tentang semua ini. mudah-mudahan dengan cara itu negara dan bangsa kita akan selamat dan dapat terus menjalani perkembangannya yang sihat tanpa gangguan.
Untuk akhirnya, beta tidak lupa mendoakan semoga rakyat dan penduduk di daerah ini akan terus menikmati keadaan hidup yang harmoni, aman dan sejahtera yang berpanjangan.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|




