|
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA MENYAMBUT HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-44 DI DAERAH BELAIT PADA HARI SABTU, 21 JULAI, 1990 Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Segala puji-pujian bagi Allah seru sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi yang permai ini. Dengan perasaan tulus ikhlas, beta mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang berkenaan di daerah ini, di atas sumbangan buah fikiran dan tenaga mereka untuk menjayakan upacara bagi menyambut Perayaan Ulangtahun Hari Keputeraan beta yang ke-44. Semoga Allah Subhanahu Wataala jua yang akan memberikan ganjaran yang setimpal di atas sumbangan yang berkebajikan itu. Beta sukacita menekankan sekali lagi betapa mustahaknya kita meningkatkan ketahanan nasional dalam menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21, terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Kita adalah tidak boleh lari dari menghadapi semua ini. Sama ada mahu atau tidak, cabaran itu pasti datang dan akan memaksa kita untuk menjadi wira menghadapinya. Adakah kita akan berjaya atau sebaliknya, maka di sinilah tanggungjawab kita untuk mencari tapak atau foundation yang kukuh dan persediaan yang lengkap. Menyebut tentang ini, kita perlulah memiliki dasar dan filosofi sendiri, bukannya meminjam atau memakai kepunyaan orang lain. Dasar dan filosofi kita itu hendaklah yang tumbuh dan berasal dari bumi Brunei Darussalam sendiri, bukan yang diimport atau yang dipinjam-pinjam. Hal ini sungguh penting, umpama pakaian, bahawa yang akan memakai itu ialah kita sendiri, tubuh badan kita, di mana saiz dan fesyennya mestilah yang sepadan atau bertepatan dengan ukuran dan kehendak kita juga. Adapun yang dipinjam-pinjam itu belum tentu menepati dengan saiz dan kehendakkehendak kita. Maka dalam hubungan inilah, beta baru-baru ini telah memperkenankan penubuhan sebuah badan peringkat nasional, konsep Melayu Islam Beraja. Konsep ini sebenarnya bukanlah baru, tetapi sudah lahir semenjak beberapa abad lagi. Ianya tidak lebih dari menunjukkan bentuk dan corak Kerajaan Brunei Darussalam yang tulen: Kerajaan Melayu Islam yang Bersultan atau Beraja. Dan sebagai sifatnya sebuah Kerajaan Islam, maka ia adalah yang terbaik dan yang terunggul serta paling adil untuk semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, sama ada mereka itu beragama Islam ataupun tidak. Dari tiga rangkai kata: 'Melayu Islam Beraja' terdapat unsur atau nilai-nilai yang positif untuk ketahanan negara, umpamanya dari Melayu itu, ialah bahasanya. Siapa pun tidak boleh menyangkal, bahawa bahasa Melayu itu adalah satu-satunya alat perpaduan kita yang paling efektif. Tanpa bahasa ini, kita tentunya tidak akan dikenali sebagai satu bangsa yanag berdaulat lagi mempunyai identiti. Demikian juga Islam, ialah agama yang menjamin seluruh kepentingan rakyat dan penduduk dengan tidak mengira apa jua agama, suku kaum dan keturunan. Pendeknya, agama Islam adalah jaminan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua. Kerana itu tidak siapa yang perlu takut atau merasa ragu mengenainya. Sementara perkataan 'Beraja' pula, adalah menunjukkan kepada kerajaan yang bersultan atau beraja, yang sudah wujud dan menjadi warisan zaman semenjak dari beberapa abad lagi. Negara Brunei Darussalam telah menjalani zaman-zaman yang gemilang di bawah pemerintahan corak ini, dengan tiada sebarang masalah yang merunsingkan. Malahan sebaliknya Negara Brunei Darussalam semakin maju dan makmur, semakin terkenal dan stabil, serta digalati oleh kalangan antarabangsa. Semua ini adalah berkat perpaduan rakyat dan penduduk, dan hasil dari taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi di bawah pemerintahan beraja itu. Beta berharap, nilai-nilai murni yang luhur ini, mustahaklah diresapkan kepada semua peringkat masyarakat kita, terutama belia-belia dan generasi muda, tidak terkecuali juga penuntut, supaya mereka itu akan dapat memahami dengan baiknya erti bernegara atau berkerajaan itu, serta sekaligus akan mengenalkan kepada mereka corak pemerintahan yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk kita ini. Beta percaya langkah ini adalah merupakan satu faktor penting ke arah pencapaian ketahanan nasional yang kita hasratkan itu. Kita tidaklah boleh lalai dan mencuaikan tanggungjawab ini. Di samping kita. memperkaya nilai-nilai rohani, kita juga masih banyak tugas untuk bekerja lebih giat lagi ke arah pembangunan fizikal. Dalam soal ini, objektif kita ialah memenuhi keperluan-keperluan rakyat, bukannya untuk kepuasan segelintir orang sahaja. Maka mengambil kesempatan ini, beta ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat dan penduduk di daerah ini khasnya, supaya akan terus memupuk semangat kerjasama dan hormat-menghormati di antara mereka dengan Pegawai Daerah dan pegawai-pegawai serta sekalian kakitangan kerajaan, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua rumah. Dengan wujudnya perpaduan dan persefahaman ini, insya-Allah, kita akan terus dapat mengekalkan suasana aman dan tenteram yang telah kita nikmati selama ini. Sekian, Wabillahit TaufIk Wal-Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|