Print

BRUNEI MANTAPKAN PERANAN AIPA

NEGARA Brunei Darussalam berjaya menarik perhatian negara-negara serantau dan antarabangsa menerusi usaha gigihnya dalam sama-sama memantapkan peranan dan memajukan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary - AIPA) dalam usaha mencapai kemakmuran dan kestabilan politik.

Kesungguhan Brunei sangat terserlah apabila mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Agung AIPA Ke-34 yang akan memantapkan lagi peranan pertubuhan berkenaan sekaligus menjadi batu loncatan bagi membantu pembangunan ASEAN yang berterusan dalam proses serantau.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah pada perasmian AIPA menekankan ahli parlimen mempunyai peranan penting untuk menyampaikan wawasan ASEAN kepada rakyat untuk merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Dalam usaha untuk mencapai kemakmuran dan Komuniti ASEAN yang dinamik, baginda percaya ia adalah penting untuk memastikan keterlibatan semua pihak yang berkepentingan bagi menjana semangat identiti dan kekitaan kepada komuniti.

"Dengan cara ini, kita akan dapat menjalin ikatan yang lebih kukuh daripada komitmen dan kerjasama di kalangan pihak-pihak yang berkepentingan antara pihak eksekutif dan para ahli parlimen."

Baginda percaya AIPA mempunyai sejarah kerjasama yang berpanjangan dengan ASEAN malah objektifnya sentiasa termasuk kepada usaha ke arah komuniti serantau yang lebih berintegrasi dan berjaya.

Ketika ini, merupakan waktu yang tepat untuk pertubuhan berkenaan sama-sama menyumbang usaha ASEAN demi kemakmuran rakyat dan kestabilan politik di rantau ini khususnya.

Negara Brunei Darussalam sejak menjadi ahli kepada AIPA pada tahun 2009 telah sama-sama bergiat aktif bagi mewujudkan dan meningkatkan kerjasama di antara institusi-institusi perundangan atau parlimen dengan negara-negara ahli ASEAN.

Majlis Mesyuarat Negara, selaku tuan rumah dalam AIPA telah memilih tema 'Peranan AIPA Dalam Merealisasikan Komuniti ASEAN' di mana tema berkenaan bertepatan dengan peranan ahli-ahli parlimen sebagai penggubal undang-undang dan memantau dasar-dasar kerajaan untuk sama-sama mendukung hasrat kerajaan ke arah mempertingkatkan lagi usaha ASEAN.

Selain kesemua perwakilan dari negara-negara ASEAN, Perhimpunan Agung AIPA juga dihadiri oleh negara-negara rakan dialog termasuk Australia, Belarus, Kanada, Republik Rakyat China, Parlimen Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Papua New Guinea dan Republik Persekutuan Rusia.

Perhimpunan AIPA yang diadakan julung kali di negara ini merupakan satu lagi peristiwa gemilang atas kejayaan perhimpunan yang dikendalikan serentak ketika negara menjadi Pengerusi ASEAN.

Selain ini, Majlis-Majlis Mesyuarat Negara yang menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan AIPA berlangsung ketika rakyat bergembira merayakan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-67 sekaligus memberi peluang kepada semua delegasi sama-sama menikmati keindahan warna-warni lampu neon yang dihias begitu indah di jalan-jalan raya utama di ibu negara dan kesemua daerah, di samping berpeluang sama-sama bergembira menyaksikan beraneka persembahan di pentas-pentas perayaan di ibu negara. - .

Print

Lambang keunggulan institusi beraja

KEGEMILANGAN dan kemeriahan suasana Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan lambing kekukuhan institusi beraja di negara ini. Kepelbagaian upacara yang diatur bersempena Hari Keputeraan setentunya membolehkan penyertaan rakyat segenap lapisan untuk sama-sama terlibat dalam sambutan tersebut.

Sambutan Hari Keputeraan dimulakan dengan upacara barisan kehormatan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan diikuti dengan upacara Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Istana Nurul Iman. Sementara itu pada sebelah malam pula diadakan Majlis Persantapan dan disusuli dengan majlis ramah mesra yang diadakan pada keempat-empat buah daerah.

Setiap acara yang diadakan itu setentunya mempunyai signifikannya yang tersendiri. Upacara perbarisan diadakan secara gilanggemilang di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien merupakan tradisi yang lazim diadakan.

ren01RAJA DI HATI RAKYAT ... Rakyat lazimnya berpusu-pusu menjunjung ziarah ke hadapan majlis baginda serta kerabat diraja yang lain pada Majlis Ramah Mesra yang menunjukkan baginda disayangi rakyat. (Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas)

Penyertaan beberapa pasukanpasukan beruniform pada upacara perbarisan tesebut menunjukkan taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda.

Bagi mengiktiraf dan mengenang jasa mereka yang berbakti kepada Negara Brunei Darussalam tidak kira warga tempatan atau asing, satu Majlis Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam turut diadakan dengan penuh tradisi di Istana Nurul Iman.

Selain itu, pada sebelah malamnya pula, Majlis Persantapan Sempena Hari Keputeraan pula diadakan. Ia dihadiri oleh kerabat diraja, para pembesar negara Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri dan Manteri-Manteri Pendalaman dan para perwakilan asing ke negara ini serta Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan tetamu yang lain terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan dan swasta serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Mereka yang hadir memenuhi undangan dengan memakai pakaian sepengadak berwarna putih, menunjukkan keteguhan tradisi majlis tersebut.

KEHADIRAN TETAMU KHAS

Upacara keraian lazimnya turut dihadiri oleh para tetamu khas dari luar negara. Ini menunjukkan betapa kepimpinan baginda turut dikagumi oleh orang luar dan kesungguhan negara-negara sahabat dalam mengukuhkan lagi hubungan diplomatik.

Pada tahun ini antara yang hadir ke negara ini sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib bin Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Raghad Kurdi Taib; Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Dato Seri Paduka Datuk Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Hajah Faridah binti Haji Tussin; Menteri Sekretaris Negara Republik Indonesia, Leftenan Jeneral TNI (Purn) Sudi Silalahi serta Ibu Sri Rahayu Mulyani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lim Swee Say.

ren02SUASANA Majlis Persantapan dihadiri oleh para jemputan dengan berpakaian sepengadak putih. - Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)

Ini menunjukkan dasar negara kita iaitu mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara sahabat dan tidak campur tangan urusan hal ehwal dalaman negara masingmasing sememangnya membawa keuntungan besar kepada negara. Maka dengan itu, baginda telah berjaya membawa Brunei bersahabat dengan pelbagai negara dengan bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Ini setentunya untuk kepentingan Negara Brunei Darussalam yang nanti akan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.

TAAT SETIA

Selaku masyarakat Melayu yang mendiami sebuah kesultanan Melayu yang tertua di dunia, sifat taat setia rakyat di negara ini kepada raja terus saja tertanam di dalam sanubari dan jiwa rakyat jelata. Ini terbukti apabila rakyat berpusu-pusu menjunjung ziarah ke hadapan majlis baginda serta kerabat diraja yang lain pada majlis ramah mesra bersama rakyat di keempat-empat daerah. Itulah menunjukkan betapa rakyat di negara ini amat kasih kepada raja.

Keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi dan sosial negara mengikut calak kebruneian mengikut lunaslunas Islam, membuatkan baginda terus saja dikagumi oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini bahkan juga masyarakat luar.

 ren03UPACARA Istiadat Barisan Kehormatan diadakan dengan 
gilang-gemilang di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)

Kita selaku rakyat di negara ini sepatutnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah dilimpahkan seorang ulil amri yang cukup bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka dengan itu institusi beraja di negara ini terus saja relevan walaupun kita memasuki zaman era moden.

Maka inilah masanya kita selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sama-sama berganding bahu menjayakan dan memeriahkan apa jua acara Sambutan Hari Keputeraan baginda sebagai lambang taat setia kita kepada raja. Tunjukkanlah kepada dunia luar bahawa negara kita mempunyai institusi beraja yang paling unggul di dunia. Kasih sayang kita kepada raja setentunya akan mengukuhkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Kesultanan Melayu yang tertua.

Print

‘Guru Berwawasan Penjana Modal Insan’

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laraganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.

Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak terlepas dari okongan, dokongan, sumbangan dan pengorbanan berbagai pihak tidak kiralah samada diri sendiri, rakan-rakan, termasuk juga guru-guru.

Kita akui bahawa guru memainkan peranan penting dalam membimbing dan mendidik kita ke arah kesempurnaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di Akhirat. Oleh itu sudah sewajarnyalah pada setiap tahun di negara ini kita meraikan guru-guru dengan majlis sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang telah mendidik anak bangsa menjadi insan berguna.

Sememangnya guru adalah insan mulia yang diibaratkan seperti khazanah ilmu yang memiliki ilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk mendidik, mentarbiyah dan menyampaikan ilmu tersebut kepada masyarakat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith:

Maksudnya : "Dari Anas bin Malik ia berkata, telah bersabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang dilangit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan samada di daratan mahupun di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang dikhuwatiri akan hilang arah tujuan." (Riwayat Al-Imam Ahmad)

Hari guru pada tahun ini disambut dengan tema "Guru Berwawasan Penjana Modal Insan."

Sesunggunhya guru-guru memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan modal cemerlang yang memiliki peranan yang sangat penting dan keharmonian dalam kehidupan di dunia, bahkan juga untuk mencapai kenikmatan di Akhirat yang merupakan kehidupan yang kekal abadi.

Kini, perkembangan pendidikan terus berkembang, seiring dengan perkembangan di dunia dan teknologinya. Perkembangan ini bukan hanya mencabar peradaban bangsa bahkan dalam kontek dunia pendidikan, ia juga mengajar kewibawaan dan kredibiliti setiap guru. Guru yang statik,kaku, beku dan tidak peka kepada kehendak perubahan zaman dan masa, akan terus ketinggalan dalam membina modal insan yang hendak dicapai. Oleh itu, dalam menuju wawasan negara 2035 guru perlulah sentiasa memiliki dan menguasai ilmu dalam pelbagai bidang, memiliki kemahiran yang relevan yang melangkaui pengetahuan dan kemahiran anak didiknya serta kekal dengan jati diri yang terpuji, berakhlak mulia.

"Guru Berwawasan Penjana Modal Insan" menjelaskan bahawa tugas guru bukan hanya menyampaiakan ilmu pengetahuan sahaja tetapi juga mendidik dan membangun anak bangsa supaya menjadi insan berilmu, berkeyakinan, mempunyai akhlak serta modal yang tinggi lagi terpuji, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progesif, cekal dan berdaya saing. Guru juga perlu memiliki personaliti unggul, berkrisma dan berpandangan jauh dalam menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Pada masa ini, sumber utama pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja berasakan sumber asli tetapi juga ekonomi berasaskan pengetahuan. Ilmu, kreativiti, teknologi dan inovasi telah menjadi sumber baru kepada pertumbuhan ekonomi global, ekonomi berasaskan pengetahuan dapat direalisasikan melalui modal insan. Modal insan ini perlu dilengakapi dengan ilmu pengetahaun yang jitu, nilai moral yang tinggi serta memiliki kemahiran-kemahiran yang boleh dimanfaatkan, dinamik dan sentiasa kekal relevan dalam pertumbuhan ekonomi yang berubah-ubah. Dalam hubungan ini, guru adalah asas utama sebagai penjana insan berkualiti dan berkraktor.

Guru yang mempunyai wawasan akan sentiasa peka terhadap keupayaan pelajarnya, bermotivasi tinggi, berfikir secara kritikal dan terbuka, juga bertindak secara rasional, mampu mengaplikasi dan mengadaptasi pengetahuan dan kemahiran serta berupaya menjadi pemimpin yang berwibawa disetiap peringkat. Guru berwawasan adalah guru yang benar-benar memahami, menyedari dan menghayati nilai dan memiliki kekuatan jati diri sebagai role modal yang lengkap kepada anak didiknya.

Guru yang berwawasan juga ialah yang memiliki pengetahuan psikologi, pengetahaun semasa, memiliki kemahiran dan pelbagai kebolehan, kreatif, bersedia mempelajari dan menguasai teknologi baru, menjadi contoh teladan dan memiliki emosi yang stabil, yang dapat membentuk sahsyiah anak bangsa dan menjadi harapan negara untuk menjana modal insan yang baik. Kita berharap tiba hari guru pada tahun ini, Insya-Allah akan dapat member dorongan dan motivasi kepada guru-guru untuk mencapai tahap yang berwawasan.

Belia kita bercakap mengenai insan atau manusia ini, salah satu perkara penting bagi menjamin kesejahteraan hidup seseorang insan atau manusia itu ialah kesihatan. Kesihatan adalah nikmat anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang sangat berharga. Oleh itu kita hendaklah menjaga kesihatan dengan sebaik-baiknya. Kita bersyukur kerana kesedaran dan kepekaan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat juga semakin meningkat.

Namun dalam masa yang sama kesihatan orang ramai tergugat disebabkan oleh asap rokok. Inilah antara perkara yang ditiahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-67 tahun di mana baginda telah menyebut perkara mengenai tabiat merokok di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini sera mahukan gejala ini ditangani dengan tegas.

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa perbuatan merokok adalah membahayakan dan memudaratkan kesihatan. Kajian telah menunjukkan bahawa rokok mengandungi empat ribu unsur kimia di antaranya ialah racun yang boleh membunuh dan lain-lain bahan yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh membawa maut. Rokok juga penyebab kepada pembaziran wang kerana membelanjakan kepada sesuatu yang tidak berfaedah dan berbahaya, firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 :

Tafsirnya : "Dan belanjakanlah harta yang ada pada kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu senghaja mencepatkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahawa kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan."

Melihat kepada banyaknya keburukan merokok, maka berbagai langkah telah dibuat untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terhadap bahaya rokok serta pendidikan kesihatan melalaui media dan media cetak antaranya melalui risalah, poster, surat khabar, majalah dan sebagainya. Perkara ini juga sering dilaung-laungkan dan diperkatakan dalam forum, ceramah, khutbah dan sebagainya bahkan hukum haram merokok juga sudah lama difatwakan.

Di samping itu juga, pihak kerajaan telah menyediakan undang-undang dan peraturan larangan merokok di semua bangunan kerajaan, sekolah, masjid, pusat kesihatan, gedung perniagaan, tempat-tempat awam dan banyak lagi. Bukan setakat itu, mana-mana kenderaan atau jenis perkhidmatan awam seperti bas-bas awam dan teksi turut tidak dibenarkan merokok di dalamnya. Apa yang mendukacitakan, masih terdapat orang yang merokok itu tidak menghiraukan peraturan-peraturan tersebut sehingga mereka merokok ditempat-tempat yang ditegah tanpa rasa bersalah dan segan. Peraturan tersebut hendaklah dipatuhi kerana tujuan peraturan tersebut adalah untuk kebaikan dan keselamatan semua orang, sama ada kepada diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat sekeliling, janganlah bersikap pentingkan diri sendiri kerana kemudaratan akibat asap rokok bukan sahaja berbahaya kepada dirinya sendiri bahkan juga orang lain. Lebih menyedihkan lagi ialah seramai lima puluh peratus kaum bapa di negara ini yang masih menjadi perokok di dalam rumah. Mereka sebenarnya bertindak kejam terhadap diri dan juga keluarga.

Jika kita sayang kepada diri sendiri, sayang kepada anak dan isteri, sayang kepada keluarga, maka orang yang merokok hendaklah berusaha berhenti merokok. Tidak dinafikan pada peringkat awal mungkin terasa sukar namun dengan keazaman dan kesabaran, ditambah dengan sokongan dan dorongan dari keluarga dan masyarakat, adalah tidak mustahil orang yang merokok itu boleh berjaya untuk berhenti merokok. Mereka hendaklah juga sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga niat dan usaha mereka untuk berhenti merokok akan berjaya.

Di samping itu juga, kerjasama dari pelbagai pihak seperti agensi-agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pemilik atau pengurus premis perdagangan juga sangat diharapkan bagi menjayakan lagi usaha untuk membebaskan negara kita ini dari asap rokok. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga rakyat negara mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala dan diselamatkan dari sebarang mara bahaya. Amiin Ya Rabbal 'Alamin. Surah Ar-Ra'd ayat 11 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Print

Delegasi AIPA diraikan di Majlis Makan Malam

TUTONG, Jumaat, 20 September. - Para delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-34 diraikan dengan Majlis Makan Malam yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.

Majlis tersebut diberikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan diselenggarakan bersama oleh Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yusof, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Besar negara-negara sahabat ke negara ini, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha-setiausaha Tetap serta para delegasi luar negara dan para jemputan.

Sejurus ketibaan para delegasi, telah dialu-alukan dengan pukulan hadrah dari pelajar-pelajar, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri.

Majlis juga diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dari Badan Kebudayaan, Jabatan Penjara dan dimeriahkan lagi dengan persembahan bunga api sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-67 tahun di daerah ini.

Mesyuarat AIPA Ke-34 berlangsung di negara ini bermula 17 hingga 23 September depan dengan tema ‘Peranan AIPA Dalam Merealisasikan Komuniti ASEAN’.

AIPA dianggotai oleh parlimen-parlimen dari negara-negara ASEAN selaku penggubal undang-undang di negara masing-masing dan perhimpunan agungnya diadakan setiap tahun di negara-negara ahli secara bergilir-gilir.